Pages

Sunday, December 5, 2010

Uniknya manusia


Setiap orang adalah unik. Setiap orang ada kelebihan dan kekurangan yang tertentu. Tidak ada manusia yang sempurna kecuali Rasulullah SAW kerana baginda telah ditentukan maksum. Selebihnya tidak terkecuali daripada sifat lemah, buruk, hina, sakit dan bermacam-macam kekurangan lagi. Anda tidak perlu berasa susah hati lantaran gemuk, tidak menarik, terlalu rendah, berkulit hitam malahan cacat.

Biar bagaimana sekali pun keadaan anda, anda tetap unik dan tanpa anda alam ini tidak sempurna.

Memang Allah menjadikan manusia pelbagai rupa dan gaya. Di situlah berkuasanya Allah. Dia berhak dan mampu berbuat apa saja mengikut kehendakNya.Kita tidak ada hak untuk mempersoal itu ini, mempertikai itu ini. Anda mungkin berasa rendah diri melihat kekurangan yang ada pada diri anda. Anggap ia satu kelebihan. Jika anda kurang cantik setidak-tidaknya anda bebas dari gangguan seksual, juga bebas dari rasa riak dan takbur.

Anda sangka kecantikan itu membawa untung? Tidak, tidak selalunya begitu. Jika tewas dalam percaturan hidup, maka kecantikan itu bakal mengundang kemusnahan. Kadang-kadang seekor semut diberikan sayap oleh Allah supaya dia boleh terbang dan menerjah api. Samalah halnya, kadang-kadang manusia itu diberikan kecantikan supaya dengan kecantikan itu dia boleh berbuat mungkar untuk diberi balasan setimpal di Akhirat kelak.


Setelah anda dilabel 'cantik', bermulalah 'kisah seram' dalam hidup anda. Sebabnya? Orang cantik fobia menjadi buruk. Setiap kedutan di wajah menimbulkan kebimbangan di hatinya. Lalu kehilangan berjam-jam masa yang emas semata-mata untuk merawat wajah. Itu belum lagi dikira kehilangan berbilion ringgit Malaysia angkara botox dan seangkatan dengannya. Bagi yang berumur panjang, saat menjadi tua pasti tiba. Lalu bagaimanakah perasaan si cantik meghadapi detik tersebut? Rasa bimbang yang tiada berpenghujung, bukan?

Tontonilah filem atau drama-drama di TV. Kisah hidup orang cantik selalunya penuh ranjau dan duri. Perkara remeh seperti mencari kawan yang pada kebanyakan orang adalah mudah menjadi sukar kepadanya semata-mata kerana dia cantik. Masakan tidak, kaum wanita menjauhinya kerana hasad, merasa tercabar, juga bimbang seandainya perempuan cantik ini merampas lelaki miliknya. Kaum lelaki? Bagaimana mungkin dia membuat sahabat dari kaum ini. Mungkin ada satu lelaki dalam seribu, yang berjiwa kuat berhati tulus, mampu melepasi batas norma kelelakian biasa, untuk melihat dirinya seadanya. Kebanyakan hanya mampu memandangnya dengan nafsu bergelora lantas buta terhadap perkara lain dalam dirinya yang lebih utama, seperti budi pekerti, bakat, kepintaran, juga agamanya. Sebab itu kebanyakan wanita cantik hidupnya kesepian.

Bagi yang telah bersuami, bahagialah dirinya jika suaminya itu dari kalangan satu dalam seribu tadi. Jika tidak, maka hiduplah dia dalam kesangsian, curiga-mencurigai, dendam, hasad, dan kebencian, di sepanjang usia perkahwinannya. Sedikit sahaja sebenarnya dia mendapat kasih sayang. Jika dia cerdik, dia akan memilih mendambai cinta kudus dari Tuhannya, maka selamatlah dia. Namun, sebagai manusia yang diciptakan lemah, lebih ramai yang lebih senang mendambai kasih sesama manusia, lalu ada yang tersungkur di lembah maksiat. Kerana sememangnya jalan ke arah maksiat itu kelihatan jauh lebih mudah dan lebih indah angkara syaitan.

Penghuni neraka kebanyakkannya wanita, sebagaimana disabdakan Rasulullah SAW. Mungkin wanita itu yang cantik tapi gagal memahami untuk apa kecantikan itu diberikan Allah kepadanya. Dan mungkin juga wanita itu yang buruk sebab dia berterus-terusan saja mempertikaikan kerja Tuhan.

Lalu siapakah wanita penghuni syurga itu? 

Barangkali yang cantik dan dia sentiasa memahami bahawa kecantikan itu hanya ukuran manusia. Cantik pada pandangan Allah adalah ketaatannya terhadap semua perintah dan larangan Allah, dan itu yang lebih diutamakannya.

Barangkali juga yang buruk dan dia memahami bahawa Allah tidak memandang rupa parasnya tapi apa yang ada di dalam hatinya.
Wahai orang cantik, orang buruk, orang hitam, orang rendah, orang gemuk, orang cacat, semuanya itu hanyalah ukuran manusia dan ukuran manusia selalunya sasar. Hargailah diri anda seadanya sebab kewujudan anda membuktikan kekuasaan Allah. Dari Allah kita datang dan kepada Allah kita kembali.


No comments: