Pages

Sunday, December 5, 2010

..Allah Taala Bukan Keperluan Bermusim..


Allah Taala adalah segala-galanya. Kalau bukan kerana Allah Taala, segala-galanya tidak akan ada. Segala-galanya ada kerana Allah Taala mengadakan. Kalau Dia tidak mengadakan, segala-galanya termasuk kita pasti tiada. Allah Taala mengadakan sesuatu sama ada di dunia mahupun di Akhirat, nikmat dunia mahupun nikmat Akhirat, menjadikan alam ghaib mahupun alam nyata, menjadikan manusia, malaikat, jin, haiwan, tumbuh-tumbuhan dan lain-lain semuanya ada maksud, ada hikmah, bukan suka-suka lebih-lebih lagi bukan sia-sia. Setiap makhluk yang dicipta-Nya ada peraturannya, ada cara kehidupannya yang tersendiri, mempunyai sistem yang tersendiri. Malaikat ada sistem yang tersendiri, jin ada sistemnya yang tersendiri, haiwan ada sistemnya yang tersendiri, manusia ada sistemnya yang tersendiri, tumbuh-tumbuhan ada sistem yang tersendiri. Begitulah setiap makhluk sama ada sebesar-besar makhluk hinggalah sekecil-kecil makhluk, yang bernyawa mahupun yang tidak bernyawa, semuanya ada peraturan dan sistemnya yang tersendiri. Setiap makhluk itu adalah berjalan mengikut peraturan atau sistemnya masing-masing. Siapa sahaja yang tidak mengikut peraturan yang Allah Taala sediakan, dia pasti binasa. Sama ada jangka pendek mahupun jangka panjang.


Bahkan dunia nanti binasa (Qiamat) setelah setiap planet-planetnya tidak mengikut peraturan dan sistemnya lagi. Seterusnya, setiap makhluk ciptaan Tuhan itu dengan peraturan serta sistemnya, setiap gerak-geri dan gerak-lakunya tidak terlepas daripada ilmu-Nya, penglihatan-Nya, kuasa-Nya, kehendak-Nya, pendengaran-Nya, walaupun sebesar habuk tidak terlepas daripada Tuhan hinggakan manusia walaupun dia sudah berusaha, usaha manusia itu pun tidak terlepas daripada kuasa dan kehendak Allah Taala. Kemudian ke mana makhluk ini akan pergi, ke mana kesudahannya, ke mana destinasi akhirnya, apa nasibnya, semuanya tidak terlepas daripada ketentuan Tuhan yang telah disebut sifat-sifat-Nya di atas. Kalau begitu, siapa Tuhan? Tentu Tuhan Maha Agung, Maha Hebat, Maha Gagah, Maha Kuasa, Maha Berilmu, Maha Berkehendak, Maha Pengasih, Maha Penyayang, Maha Sempurna, entahkan Maha, Maha apa lagi yang tidak dapat dicapai oleh akal untuk mengetahui dan memikirkannya, yang tidak ada makhluk dapat menyukat maha-maha-Nya Tuhan itu.

Sifat Maha Kuasa Allah Taala sahaja sudah cukup menggerunkan kita. Kerana jika Allah berkata: Jadilah, terus terjadi. Jika Allah Taala berkata: Binasalah, maka binasalah benda atau makhluk itu. Kehendak dan kuasa-Nya tiada makhluk yang dapat menolaknya. Kalau Allah Taala berkata senang, pasti senang. Kalau Allah Taala berkata susah, pasti susah. Kalau Allah Taala berkata hidup, pasti hidup. Kalau Allah Taala berkata mati, pasti mati. Kalau Allah Taala berkata pandailah, pasti pandai. Kalau Allah Taala berkata bodohlah, pasti bodoh. Kalau Allah Taala mengatakan sakitlah, pasti sakit. Kalau Allah Taala berkata sembuhlah, pasti sembuh. Begitulah seterusnya apa sahaja Allah Taala katakan pasti terjadi. Begitulah agungnya Tuhan yang mempunyai sifat-sifat yang Maha Sempurna.

Apakah Tuhan itu kita tidak perlu kepada-Nya? Tidak mahu meminta kepada-Nya? Tidak mahu ingatkan-Nya? Tidak mahu mengagungkan-Nya? Tidak cinta kepadaNya? Tidak takut? Tidak mengharap? Tidak memerlukan? Tidak mematuhi-Nya. Tidak mensyukuri-Nya?Apakah kita boleh terlepas dari-Nya? Boleh lari dari-Nya? Boleh hidup tanpa-Nya? Boleh selamat tanpa-Nya? Tuhan sehebat itukah yang kita hendak lawan? Hendak tidak ambil tahu? Hendak tidak peduli? Hendak sombong dengan-Nya? Kita perlu kepada Tuhan di waktu senang, di waktu susah, di waktu miskin, di waktu kaya, di waktu aman, di waktu darurat, di waktu sakit, di waktu sihat, di waktu sempit, di waktu lapang, di waktu bodoh, di waktu pandai, di waktu di rumah, di waktu di luar rumah, di waktu takut, di waktu tenang, di waktu seorang, di waktu ramai, di waktu aman, di waktu huruhara.

Sepatutnya kita perlu kepada Tuhan di dalam sebarang waktu dan situasi, di setiap tempat dan keadaan. Jangan anggap kita boleh bersendiri. Tapi malangnya kebanyakan umat Islam kerana sombongnya, perlukan Tuhan di waktu-waktu tertentu sahaja. Tidak setiap waktu dan situasi. Yakni di waktu kemarau, waktu sakit, waktu miskin, waktu bala menimpa, waktu musuh menyerang. Itu pun tidak semua orang berbuat sedemikian.

Ada yang lebih sombong dan angkuh lagi, di waktu kemarau, di waktu sakit, di waktu bala menimpa pun tidak juga memerlukan Tuhan. Seolah-olah memerlukan Tuhan itu rasa terhina, rasa jatuh martabat, rasa malu, rasa jatuh wibawa. Sepatutnya Tuhan itu adalah segala-galanya, dapat Tuhan dapatlah segala-galanya. Kehilangan Tuhan, kehilangan segalagalanya. Tuhan adalah hidup mati kita. Tuhan adalah dunia Akhirat kita. Dia adalah tempat rujuk, tempat mengadu, tempat bermanja-manja, tempat berhibur, tempat lari, tempat menyerah diri. Dialah harapan kita, Dialah kebahagiaan kita yang sejati.


Setiap Detik Engkau Perlukan Tuhan

Engkau tidak mempedulikan Tuhan
Seolah-olah engkau tidak perlu lagi kepada-Nya
Engkau rasa, engkau boleh hidup tanpa Tuhan
Padahal setiap detik engkau tidak terlepas dari Tuhan
Setiap detik engkau perlukan kepada Tuhan
Cuma engkau sahaja buat-buat tidak tahu kepada-Nya
Kalau benarlah engkau ada kuasa dan boleh hidup tanpa bantuan Tuhan
Aku buat satu contoh sahaja
Cuba engkau tidak terima oksigen dari Tuhan
Engkau tutup hidung engkau
Engkau tutup mulut engkau rapat-rapat
Selepas tiga minit engkau akan rasa
Apakah engkau perlu kepada Tuhan atau tidak
Engkau boleh cuba
Supaya engkau sedar siapa engkau dan siapa sebenarnya Tuhan itu
Itu baru satu contoh sahaja
Engkau tidak boleh lari dari Tuhan
Bumi yang engkau pijak, langit tempat berteduh
Akal yang engkau gunakan untuk berfikir
Makan minum engkau, pakaiandan tempat tinggal engkau
Apakah itu semuanya tidak kena-mengena dengan Tuhan?
Mengapa engkau sampai tidak boleh berfikir?
Mengapa engkau tidak rasa lagi bertuhan?
Apa yang telah merosakkan engkau?
Hingga engkau tidak mempedulikan lagi Tuhan?
Jawablah sendiri..
Gunakanlah akal Tuhan itu yang ada pada diri engkau untuk menjawabnya
Agar engkau boleh merubah sikap engkau


Marilah Bersama-sama Mencari Cinta Tuhan

Marilah kita bersama-sama mencari cinta Tuhan
Carilah cinta Tuhan hingga dapat
Kita jadikan Tuhan kawan setia
Bersama-sama mencari cinta Tuhan tidak akan timbul pergaduhan
Bahkan akan terjadi satu haluan sesama insan
Akhirnya setelah bersama mendapat cinta Tuhan
Akan terjadi berkasih sayang sesama manusia
Bersama mencari cinta  Tuhan tidak ada pertarungan
Tidak seperti manusia memburu dunia dan nikmatnya
Sentiasa sahaja bertarung, bersaing dan bermusuhan
Hasad dengki, tekan-menekan, jatuh-menjatuhkan
Ia tidak akan terjadi pada manusia yang bersama-sama memburu cinta Tuhan
Memburu dunia tidak semua dapat
Ada yang dapat ada yang tidak
Memburu cinta Tuhan sama-sama dapat,tidak ada yang kecewa
Memburu dunia banyak yang kecewa
Hatta yang dapat duniadan nikmatnya juga kecewa
Mendapat dunia menjemukan
Mendapat cinta Tuhan tidak menjemukan
Dapat dunia tidak membahagiakan
Dapat cinta  Tuhan dapat segala-galanya
Dapat dunia hanya sebahagian
Mendapat cinta Tuhan mendapat Zat yang kekal abadi
Mendapat dunia mendapat sesuatu yang binasa
Sama ada kita meninggalkan dia
Atau dia meninggalkan kita
Mendapat dunia ia sentiasa menipu kita
Mendapat cinta Tuhan ertinya kita mendapat kawan setia

-AQIL MUBASHSHIR NURUDDIN B BAHARUDIN-

No comments: