Pages

Sunday, December 5, 2010

Mogok jejaskan 250,000 penumpang di Sepanyol



SEJUMLAH penumpang memenuhi Terminal 1 di Lapangan Terbang Barajas di Madrid semalam.


MADRID - Mogok petugas trafik udara menyebabkan ruang udara Sepanyol ditutup semalam walaupun kawalan udara kini diambil alih tentera dan kerajaan mengancam untuk memenjarakan para pekerja itu.
Perdana Menteri Sepanyol, Jose Luis Rodriguez Zapatero mengerahkan pihak tentera semalam selepas pengawal-pengawal trafik udara awam mengambil cuti sakit beramai-ramai kerana tidak berpuas hati dengan keputusan kerajaan menambah waktu bekerja.
Namun, sehari selepas mogok itu dilancarkan kelmarin yang menyebabkan kira-kira 250,000 penumpang terkandas, masih tiada pesawat dilihat berlepas dari Sepanyol.
"Situasi masih belum berubah. Tiada penerbangan yang tiba atau berlepas. Kami cuma menerima kemasukan pesawat rentas Atlantik di lapangan terbang Madrid-Barajas. Itulah satu-satunya penerbangan yang masih beroperasi," kata seorang jurucakap agensi pengendali lapangan terbang Sepanyol, AENA.
Di lapangan terbang Madrid-Barajas, beribu-ribu penumpang terkandas dan terpaksa bermalam di atas lantai bangunan lapangan terbang itu.
Ramai di antara mereka yang buntu dalam berdepan situasi itu memilih untuk mendapatkan bayaran balik tiket atau mengubah jadual perjalanan.
"Saya tiba di lapangan terbang ini untuk menaiki penerbangan ke Poland, tetapi mereka memberikan borang tuntutan tiket kerana penerbangan itu telah dibatalkan," kata seorang wanita Teresa Cabezas, 6O, semalam.
Sementara itu, kerajaan Sepanyol mengisytiharkan keadaan darurat selama 15 hari sejajar dengan perlembagaan negara setelah hampir semua lapangan terbang lumpuh akibat mogok berkenaan, kata Menteri Dalam Negeri, Alfredo Perez Rubalcaba.
"Perisytiharan ini membolehkan kerajaan menangkap, mendakwa dan memenjarakan pegawai trafik udara yang enggan masuk bekerja," katanya.
Terbaru, separuh perjalanan udara di Sepanyol kembali dibuka lewat semalam selepas sejumlah pengawal trafik udara kembali bekerja susulan ancaman penjara oleh kerajaan. - AFP

No comments: