Pages

Sunday, December 5, 2010

Oh Pemuda Pemudi ( Muhasabah )

ertikan masa mudamu !!

Saya duduk dan memandang. Memandang satu pandangan masa hadapan. Mengira dan menghitung umur. Oh, telah 24tahun. Muda? Masih mudakah?

Saya akan cakap betapa saya merasakan saya sudah tua. Tua untuk bermain-main. Tua untuk tidak serius. Tua untuk sekadar bermain di medan teori. Tua untuk buat tidak kisah.

Artikel ini lebih untuk diri. Mengingatkan akan tanggungjawab hakiki.

Saya cuma membayangkan bebanan yang akan saya pikul beberapa tahun nanti.

Ah… bukan saya sahaja. Semua yang seangkatan dengan saya akan memikulnya.

Tetapi apakah umur-umur kami ini menyedari?

Atau masih memilih untuk berfoya-foya dengan kemudaan yang masih wujud pada diri?

Yang disuruh kejar, menanda ia bukan benda kecil

Rasulullah SAW ada menggesa manusia untuk mengejar lima sebelum lima. Di dalam riwayat yang sohih, gesaan untuk kelima-lima perkara itu dimulakan dengan:

“Kejarlah lima sebelum lima, masa mudamu sebelum masa tuamu…”

Masa mudamu sebelum masa tuamu.

Dan semestinya yang disuruh kita menyambarnya ini, bukanlah perkara kecil. Jika kecil Rasulullah SAW tidak akan memesanya sedemikian rupa. Perkataan ‘kejar’ itu sendiri sudah menunjukkan besarnya akan perkara ini.
Mengapa masa muda? Apa yang pemuda dan pemudi ada?


Kekuatan, tenaga, kecerdasan, semangat membara

Pemuda-pemudi punya kelebihan yang besar berbanding para veteran dalam banyak perkara. Tinggal hikmah dan pengalaman sahaja yang mungkin tidak mampu ditandingi. Itupun hakikatnya, tembok itu mampu dipecahkan dan perkaraitu akan diperbincangkan sebentar nanti.

Justeru persoalan utama adalah, ke mana pemuda dan pemudi mengeksploitasikan kekuatannya, tenaganya, kecerdasan akal mudanya dan semangat membaranya?

Kita lihat hari ini pemuda pemudi kita terjerumus ke satu alam kotor yang merosakkan. Kita lihat betapa mereka kuat berpegang dengan stylo yang mereka rasa cool, dengan gaya hidup yang mereka rasa macho, dan fesyen yang mereka rasa popular.

Mereka mempunyai tenaga, maka ke mana dihabiskan? Kita dapat lihat ramai pemuda pemudi kita mampu ber’clubbing’ sampai pagi. Menari menari dan melakukan pelbagai perkara lagi.

Mereka mempunyai keberanian, ke arah mana mereka halakan? Kita dapat lihat betapa banyak kelahiran anak luar nikah. Bukankah itu hasil ‘keberanian’ pemuda pemudi melakukan sesuatu yang dinyatakan sebagai ‘terlarang’? Belum dikira yang berani merempit atau memandu laju kerana darah muda.

Mereka mempunyai kecerdasan akal, ke arah mana mereka gunakan? Sampai kalau tak ada penghisap shisha sendiri, sanggup reka asal boleh sedut asap. Tak ke genius? Belum dikira lagi teknik-teknik pecah asrama, lari dari warden@ibu bapa, karang skrip tipu itu ini.

Resmi darah muda, panas, semangat berapi-api, ke arah mana disalurkan?

Akhirnya kita balik ke persoalan pokok.

Ke arah mana semua ini? Ke arah yang bermakna kah? Yang boleh dikira sebagai ‘kehidupan’ kah?

“Ala bro, buat apa fikir-fikir ni? Umur masih muda”

Ya. Umur masih muda. Sebab itu ajak fikir. Kalau sudah tua, terlambat tak bermakna.

Pernah tak terfikir akan satu perkara yang dinamakan masa hadapan?


Masa hadapan dunia, masa hadapan Islam

Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi pernah berkata:

“Sekiranya kau ingin melihat masa hadapan sesebuah negara, maka lihatlah pemuda pemudinya hari ini”

 Persoalan penting di sini adalah, betapa pemuda pemudi adalah kunci kesejahteraan masa hadapan. Baik keluarga, masyarakat, negara, dunia mahupun Islam itu sendiri. Kunci kelangsungan perjuangan Islam zaman berzaman adalah kerana wujudnya pewaris-pewaris matang yang menjadi penggerak arus pejuangan Islam itu sendiri. Begitulah juga keluarga memerlukan pemuda-pemudinya menjaga diri agar tidak rosak masa hadapan famili. Samalah juga masyarakat, akan menjadi rosak dan terbantut sekiranya pemuda pemudinya rosak tidak membangun. Begitulah negara dan dunia sekalipun. Semuanya bergantung harap kepada pemuda pemudi.

Pembinaan seseorang yang hebat itu, bermula semasa mudanya.

Siapakah yang akan mencorakkan dunia 10 tahun lagi? Adakah masih veteran hari ini?

Siapakah yang akan memegang negara 20 tahun lagi? Adakah masih muka-muka pemimpin hari ini?

Siapakah yang akan menjadi ahli komuniti di dalam masyarakat 10 tahun lagi? Adakah masih ayah ibu kita?

Siapakah yang akan menjadi bapa, ibu kepada anak-anak masa hadapan lagi? Apakah masih datuk dan nenek kita hari ini?

Siapakah yang hendak membawa Islam 10 tahun lagi? Masih Sheikh Yusuf Al-Qaradhawi yang telah berumur serta berkerusi roda? Atau mengharapkan Imam Hassan Al-Banna hidup semula?

Jawapannya hanya satu.

Pemuda pemudi hari ini. Namun siapakah antara kita yang memahami?

Ibnu Abbas berkata: Tidaklah Allah memberikan kepada seorang hamba ilmu pengetahuan kecuali kepada para pemuda, karena banyak kelebihan dan kebaikan yang terdapat di dalamnya”, kemudian beliau membaca firman Allah:

“Sesungguhnya mereka adalah pemuda-pemuda yang beriman kepada Tuhan mereka, dan Kami tambah pula untuk mereka petunjuk”. (Al-Kahfi:13)


Dan proses bukan sekelip mata

Umur 24 sudah saya kira sebagai tua. Tua untuk bermain-main. Tua untuk merasa lengah. Tua untuk tidak bersedia. Tua untuk berlagha-lagha melampau.

Hal ini kerana proses mengubah diri bukan memakan masa yang pendek. Saya sudah berumur 24 tahun. Lagi lima tahun saya akan berumur 29 tahun. Apakah saya sudah cukup matang untuk menjadi ahli masyarakat yang berumur 29 tahun? Yang menjadi suami kepada isteri, yang menjadi ayah kepada anak, yang menjadi ahli komuniti masyarakat, yang menjadi pekerja, yang menjadi pembawa Islam?

Atau 29 tahun saya masih budak-budak, pemikiran tidak matang, hidup ikut emosi, jalan tak fikir akhirat, tidak kisah kiri kanan dan masa hadapan masyarakat?

Dan saya hanya ada 5 tahun sebelum menjadi 29 tahun. Adakah saya telah merancang 5 tahun saya ini untuk menjadi seorang Abu Hanifah berumur 29 tahun yang lebih baik dari veteran-veteran berumur 29 tahun hari ini?

Memandang hal ini menyebabkan saya merasakan saya telah tua.

Mu’adz dan Mu’awwidz menumbangkan Abu Jahal kala umur mereka masih belasan. Usamah bin Zaid RA menjadi jeneral kala umurnya 18 tahun. Menumbangkan Rom pada umurnya 19 tahun. Muhammad Al-Fateh menjadi raja ketika umurnya 19 tahun, dan menumbangkan Konstantinopel pada umur 23 tahun. Itulah kualiti yang membangunkan ummah yang hebat.

Saya? Pemuda pemudi hari ini?

Berapa masa yang diperlukan untuk menjadi seorang yang berkualiti, yang pantas menggantikan veteran hari ini lantas membawa dunia ke arah yang lebih baik?

Apakah masih mampu kita berfoya-foya dan buat tidak endah?

Kehidupan ada matlamat, manusia ada tanggungjawab

Paling tidak manusia itu akan memimpin dirinya sendiri. Dan perlu disedari dan difahami, betapa diri kita adalah salah satu dari bata yang hendak membina bangunan bernama ummah.

Apakah kita suka menjadikan diri kita sebagai bata yang rapuh, punca kepada keruntuhan ummah? Saya tidak faham bagaimana beraninya kita berhadapan dengan Allah SWT nanti dengan membawa kesalahan sedemikian besar.
Hidup punya matlamat. Matlamat di dunia adalah mentadbir dunia ini sebagai khalifah, menegakkan Islam dan menjamin kemaslahatan seluruh alam. Matlamat di akhirat adalah syurga Allah SWT. Mahu tidak mahu, hendak mencapai kedua-dua ini satu keperibadian perlu dibina. Keperibadian berkuliti.

Dan pemuda pemudi sepatutnya mula peka.

Lihat semula diri.

Hendak menjadi yang bagaimana?

Betapa asas pembangunan ummah sepenting pemuda pemudi, bila rosak menjanjikan kehancuran masyarakat dan kegelapan masa hadapan. Tidak mahu percaya akan hal ini, saya sarankan anda melihat keadaan sekeliling. Jenayah-jenayah hari ini. Institusi keluarga yang gagal. Pendidikan yang berterabur. Kelam-kabut dan kucar-kacir politik hari ini. Islam yang ditinggalkan.

Mengapa semua ini berlaku? Hal ini kerana yang menggerakkan dunia hari ini adalah pemuda-pemudi yang tidak sedar suatu masa dahulu.

Apakah kita sekadar hendak meneruskan rantaian ini?

Untuk saya, jawapannya adalah tidak.

No comments: