KABUL 4 Dis. - Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama membuat lawatan mengejut ke pangkalan udara Bagram di Afghanistan semalam dan memuji pasukan tentera AS atas pengorbanan dan 'kemajuan' mereka di negara ini.
Obama meluangkan masa selama empat jam di pangkalan udara yang terletak di luar ibu negara Afghanistan ini, tetapi membatalkan rancangan lawatannya ke Kabul untuk berjumpa dengan rakan sejawatannya, Presiden Hamid Karzai ekoran cuaca buruk.
Bagaimanapun kedua-dua pemimpin itu berbual melalui telefon.
Lawat kedua Obama ke Afghanistan ini dibuat ketika White House bersiap sedia untuk menerbitkan kajian semula tentang strategi perang di Afghanistan dua minggu lagi.
Lawatan ini juga dibuat ketika WikiLeaks membuat pendedahan mengenai maklumat tentera AS di dalam perang di Afghanistan yang membayangkan kebimbangan AS tentang keupayaan Karzai dan kegiatan rasuah yang berleluasa di negara ini.
Namun kedua-dua topik itu tidak dibincangkan ketika Obama berbual melalui telefon selama 15 minit dengan Karzai, menurut penasihat perang Obama di Afghanistan, Douglas Lute kepada wartawan di atas pesawat Air Force One semasa dalam penerbangan pulang.
WikiLeaks pada Julai lalu mendedahkan maklumat tentera AS berhubung perang di Afghanistan dari 2004 hingga Disember 2009.
Presiden AS itu kini menerima tekanan untuk menunjukkan kemajuan perang di Afghanistan. - Reuters
No comments:
Post a Comment