Pages

Wednesday, February 23, 2011

Kroni kuasai kerajaan Yemen



SANAA 22 Feb. - Seorang ahli Parlimen pembangkang Yemen berkata, Presiden Ali Abdullah Saleh akan mengalami nasib yang sama seperti Presiden Mesir dan Tunisia jika beliau tidak membersihkan kerajaannya dan mula memerangi rasuah.
"Keadaan sekarang tidak boleh diterima sama sekali. Tentera dipenuhi oleh ahli keluarganya, sumber negara terutamanya minyak dan gas berada di tangan beliau atau anak-anak didik beliau," kata Abdulmoez Dabwan kepada Reuters dalam wawancara di sini semalam.
Katanya, institusi tidak wujud di Yemen dan rakyat Yemen mahu pembaharuan tulen sedangkan kenyataan Presiden hanya cakap kosong.
"Beliau belum mendapat pengajaran daripada apa yang berlaku di Mesir dan Tunisia," kata Dabwan.
Penunjuk perasaan yang mendapat inspirasi daripada penggulingan Presiden Zine al-Abidine Ben Ali di Tunisia dan Presiden Hosni Mubarak di Mesir mengadakan protes di Universiti Sanaa di ibu negara dan beribu-ribu lagi berhimpun di beberapa bandar di Yemen.
"Kita belum menyaksikan gerakan besar-besaran kerana kebanyakan penunjuk perasaan setakat ini terdiri daripada golongan muda," kata Dabwan. - Reuters

No comments: