SEOUL - Kumpulan 20 (G-20) yang dianggotai negara-negara maju dan membangun tidak sepatutnya melupakan negara-negara miskin apabila para pemimpin negara-negara itu menghadiri Sidang Kemuncak G-20 di Seoul dalam minggu ini, kata Setiausaha Agung PBB, Ban Ki-moon (gambar) semalam.
Ketua PBB itu pada kebiasaannya diundang untuk menyertai mesyuarat tersebut bersama dengan tokoh-tokoh antarabangsa lain seperti Presiden Bank Dunia, Robert Zeollick ekoran ketidakhadiran perwakilan dari negara-negara miskin.
"Saya akan melakukan yang terbaik untuk memastikan bahawa para pemimpin dari negara terbesar dan ekonomi yang kuat menghasilkan penyelesaian untuk negara-negara paling miskin di serata dunia dalam rancangan mereka," kata Ki-moon.
Bagaimanapun, perbincangan G-20 mengenai jaminan makanan dan pembangunan akan dibayangi oleh nilai mata wang yang rendah serta perbincangan mengenai cara untuk mengurangkan ketidakseimbangan perdagangan antara kuasa-kuasa dunia.
Ketika ditanya mengenai masalah itu, Ki-moon berkata: "Saya bimbang berlakunya beberapa perbalahan dalam kalangan anggota G-20 berhubung isu tersebut.
"Namun saya percaya adalah perlu bahawa para pemimpin G-20 bersatu dan menyelaraskan dasar mereka. Ini adalah masa untuk bersatu."
Persidangan G-20 akan bermula hari ini dan berakhir esok.
Tunjuk perasaan membidas sikap negara-negara maju dalam mengendalikan masalah ekonomi dunia turut diadakan di Seoul semalam.
Sementara itu, Presiden Amerika Syarikat (AS), Barack Obama serta barisan pemimpin utama dunia tiba di Seoul, Korea Selatan semalam bagi menghadiri sidang kemuncak itu.
Terdahulu, para pegawai G-20 bersetuju untuk tidak menggunakan mata wang negara masing-masing sebagai senjata perdagangan.
Namun, ketegangan kembali memuncak pada minggu lalu apabila Rizab Persekutuan AS mengumumkan pelan pembelian bon AS$600 bilion (RM1.8 trilion) yang mencetuskan kemarahan rakan-rakan perniagaan AS.
Obama bagaimanapun mempertahankan langkah Rizab Persekutuan AS kerana berpendapat ia mampu merapatkan jurang perdagangan dan pelaburan dengan kadar segera. - AP
No comments:
Post a Comment