Pages

Thursday, November 11, 2010

Bakso, nasi goreng, semuanya enak - Obama



BARACK OBAMA berjabat tangan dengan pelajar-pelajar Universiti Indonesia di Jakarta semalam.


JAKARTA - Presiden Amerika Syarikat, Barack Obama bercakap dalam bahasa Indonesia semasa mengucapkan terima kasih terhadap layanan yang diberikan oleh rakan sejawatannya dari Indoensia, Susilo Bambang Yudhoyono pada jamuan makan malam kelmarin di Istana Merdeka, lapor sebuah akhbar semalam.
"Terima kasih untuk bakso, nasi goreng, emping, krupuk. Semuanya enak," kata Obama selepas memakan hidangan yang digemarinya sewaktu di tinggal di Jakarta semasa kecil pada 1960-an bersama ibu kandung beliau dan bapa tirinya.
Obama tiba di Jakarta kelmarin dalam lawatan selama 20 jam sebelum beliau berlepas semalam ke Korea Selatan untuk menghadiri mesyuarat Kumpulan 20 yang dianggotai negara maju dan membangun.
Presiden AS itu turut menyatakan, pemandangan di Jakarta sudah berubah sejak beliau berada di bandar raya tersebut pada 1967.
Beliau tinggal bersama ibu kandung dan bapa tirinya yang merupakan warga Indonesia di sebuah rumah di Menteng Dalam di sini.
"Saya mengingati orang ramai menaiki becak...beca atau bemo yang sejenis pengangkutan seperti teksi. Kini sebagai Presiden, saya tidak dapat melihat trafik. Jalan raya disekat," katanya sambil diiringi ketawa daripada sekumpulan pegawai dan pemberita.
Presiden AS itu menyatakan demikian bagi merujuk laluan konvoi Obama yang disekat daripada dilalui kenderaan awam semasa beliau tiba di Jakarta petang kelmarin.
Sementara itu, semasa berpidato di Universiti Indonesia semalam, Obama turut mengucapkan salam dengan berkata: "Assalamualaikum. Salam sejahtera."
Ucapan salam itu mendapat tepukan gemuruh daripada pendengar yang padat memenuhi dewan tempat beliau berucap.
Kelmarin, Obama turut mengucapkan assalamualaikum kepada pemberita di Istana Merdeka.
Presiden AS itu turut menyebabkan pendengar gelak ketawa di dewan Balairung Kampung universiti tersebut apabila beliau berkata dalam bahasa Indonesia : "Pulang kampung nih."
Lebih 6,000 orang mendengar ucapan Obama itu.
Dalam suasana yang ceria, pendengar turut mendengar Presiden AS itu menceritakan penjaja jalanan melaungkan perkataan sate dan bakso pada waktu malam.
"Indonesia bagian dari diri saya," kata Obama dalam bahasa Indonesia.
Obama berkata, adik tirinya, Maya Soetoro dilahirkan semasa beliau berada di Jakarta.
Menurut Presiden AS itu, semasa kecil, beliau akan bermain layang-layang, berlari di sawah padi dan menangkap pepatung.
"Jika anda bertanya kepada saya atau rakan-rakan sekolah saya yang mengenali saya, saya tidak berfikir mana-mana daripada kita boleh meramalkan bahawa pada satu hari nanti, saya akan kembali ke Jakarta sebagai Presiden Amerika Syarikat," katanya yang mendapat tepukan gemuruh daripada pendengar.
Presiden AS itu turut menyatakan bahawa Indonesia adalah contoh paling terkuat sebagai satu kemunculan demokrasi untuk memajukan ekonomi dan sebuah negara Muslim yang bertoleransi dengan agama lain.
"Pencapaian anda menunjukkan demokrasi dan pembangunan saling memperkuatkan antara satu sama lain," katanya.
Obama menyatakan, walaupun Indonesia sudah mengalami banyak perubahan, perkara penting yang dipelajarinya mengenai negara ini ialah semangat tolak ansur yang termaktub dalam perlembagaan dengan terdapatnya masjid, gereja dan kuil.
Presiden AS itu yang tidak berucap panjang kerana meninggalkan Indonesia pada pukul 10.30 pagi waktu tempatan berkata: "Kita semua perlu menewaskan Al-Qaeda dan sekutu-sekutunya."
Mengenai Asia Barat, Obama menyatakan proses keamanan Israel-Palestin menemui banyak halangan selepas beliau melancarkan semula rundingan pada September lalu.
Semasa menutup pidatonya, Obama berkata: "Terima kasih, selamat sore... Assalamualaikum." - Agensi

No comments: