Pages

Thursday, November 11, 2010

Singapore Airlines tukar enjin Airbus A380





SINGAPURA - Syarikat penerbangan Singapore Airlines terpaksa menukar enjin Rolls-Royce Trent 900 buatan Britain pada tiga pesawat Airbus A380 miliknya selepas beberapa krewnya enggan menerbangkan salah sebuah pesawat berkenaan dari London.
Sebuah akhbar melaporkan pesawat terbesar di dunia tersebut yang lebih dikenali dengan panggilan superjumbo diterbangkan tanpa penumpang dari Lapangan Terbang Heathrow menuju ke Singapura baru-baru ini.
Kejadian berlaku selepas tumpahan minyak dilaporkan ditemui pada salah sebuah enjin pesawat itu.
Enjin itu diganti dengan versi baru model yang sama.
Bagaimanapun, syarikat penerbangan Singapore Airlines menafikan insiden tersebut.
Ia menyatakan, keputusan menukar enjin tersebut dilakukan sebagai langkah berjaga-jaga setelah enjin Rolls- Royce pada sebuah pesawat Airbus A380 milik penerbangan Qantas dari Australia meletup di udara pada 4 November lalu sejurus selepas berlepas dari Singapura.
Pesawat itu yang membawa 433 penumpang dan 26 krew terpaksa kembali ke Lapangan Terbang Antarabangsa Changi di Singapura untuk pendaratan cemas.
Serpihan bingkai sebuah enjin pesawat itu bertaburan di Batam dekat Singapura selepas ia meletup namun tidak seorang pun penumpang dan kakitangan pesawat berkenaan mengalami kecederaan. Syarikat penerbangan Lufthansa dari Jerman turut menggantikan enjin Rolls-Royce pada pesawat Airbus A380 miliknya selepas pemeriksaan penyelenggaraan mendapati ia menghadapi masalah.
Jurucakap syarikat itu, Thomas Jachnow enggan mendedahkan masalah itu tetapi menyatakan ia cuma satu masalah kecil dan tidak mempunyai kaitan dengan kebocoran minyak yang menyebabkan pesawat Airbus A380 milik Qantas dan Singapore Airlines digantung perkhidmatan.
Jachnow menyatakan, keputusan untuk menukarkan enjin tersebut diambil setelah pihaknya mengadakan rundingan dengan pengeluar enjin tersebut. - Agensi

No comments: