Pages

Monday, October 25, 2010

Rakyat Amerika cetek mengenai al-Quran



Oleh Hasliza Hassan
hazlisa@bharian.com.my
2010/10/25

Muslim perlu fikirkan cara jelas salah faham kitab suci kepada bukan Islam

APABILA Universiti Utara Carolina di Chapel Hill, Amerika mencadangkan buku Approaching the Qur’an oleh Michael Sells untuk bacaan pelajar sempena program Bacaan Musim Panas pada 2002, ia menerima bantahan banyak pihak.
Malah, pihak universiti berdepan tuntutan di mahkamah kononnya berniat menukar agama pelajar, ada mengancam menarik balik dana penganjuran program itu. Media termasuk televisyen datang membuat liputan di kampus hingga menimbulkan tanda tanya di kalangan pelajar.
Itulah antara reaksi bukan Islam. Jadi, tidak hairan jika rasa kurang senang atau tidak suka kepada al-Quran yang menjadi pegangan umat Islam sebagai panduan hidup, masih menebal dalam hati mereka.

Profesor di Jabatan Pengajian Agama Universiti Utara Carolina, Prof Dr Carl W Enst, yang menceritakan pengalaman itu bagaimanapun cukup mengagumi ketegasan canselor universiti, James Moeser untuk meneruskan atas asas kebebasan akademik.

Beliau menyampaikan ceramah umum bertajuk ‘Al-Quran Dalam Imaginasi Popular Rakyat Amerika’, mengakui kebanyakan rakyat negara itu mempunyai pengetahuan rendah mengenai al-Quran walaupun hakikatnya al-Quran sudah dikenali sejak 1841 apabila subjek bahasa Arab dan Pengajian Islam diajar di Universiti Yale.

“Anggapan kabur mengenai al-Quran ialah, ia sama dengan Injil tetapi bezanya, anggapan itu bukan dalam cara yang baik. Anggapan Kristian terhadap al-Quran adalah untuk mempertahankan Injil ialah al-Quran bukan wahyu yang sah kerana diterima selepas Jesus Christ. 
“Ada juga anggapan jika isi dalam al-Quran berbeza dengan Injil, maka al-Quran mesti salah. Oleh kerana semua Muslim membaca al-Quran yang mengandungi suruhan Allah, maka itu menjelaskan semua tindakan orang Islam,” katanya.

Ceramah umum itu anjuran bersama Institut Antarabangsa Kajian Tinggi Islam Malaysia (IAIS) dan Pusat Dialog Peradaban Universiti Malaya (UM).

Enst berkata, tindakan mempersendakan al-Quran oleh sesetengah pihak seperti dilakukan penulis Salman Rushdie dalam bukunya Satanic Verses menjurus kepada lebih banyak tanggapan salah hingga sukar memberi kefahaman mengenai al-Quran dengan cara yang baik kepada rakyat Amerika.

Katanya, kontroversi yang mendapat perhatian antarabangsa tidak banyak membantu. Antaranya, penghinaan al-Quran di penjara Guantanamo dan pemimpin anti-Islam Belanda, Geert Wilders yang cuba mengharamkan al-Quran di Belanda.

Terbaru, Paderi Terry Jones yang tiba-tiba terkenal dan menjadi perhatian dunia apabila memberitahu rancangannya untuk membakar beberapa naskhah al-Quran sebagai memperingati peristiwa serangan 11 September.

Ditanya kenapa mereka suka membangkitkan kemarahan orang Islam, katanya, mereka tidak kisah perasaan Muslim. Ini cara mereka menunjukkan apa dikatakan kebebasan bersuara sedangkan sebenarnya mereka tidak mengiktiraf Muslim sebahagian daripada rakyat negara itu.

Justeru, katanya, Muslim perlu mengambil kira pandangan bukan Islam mengenai al-Quran kerana ia buka soal kepercayaan umat Islam semata-mata, tetapi Muslim ingin mempunyai hubungan baik dengan bukan Islam.

“Oleh itu, mereka perlu memikirkan bagaimana caranya hendak menjelaskan salah faham atau pandangan salah mengenai al-Quran dan usaha itu perlu dilakukan dengan bijak supaya dapat diterima secara positif dan tidak disalah tafsir,” katanya.

Pada masa sama, katanya, Muslim juga mempunyai imaginasi mengenai Injil dengan beranggapan bahawa kandungan Injil sudah dirosakkan. Jadi mereka tidak perlu tahu mengenai isi kandungannya selain Injil tidak membantu ke arah memahami al-Quran.

Katanya, tanggapan seumpama itu juga menyebabkan wujudnya jurang antara Muslim dan bukan Islam dalam melihat kepentingan memahami kitab suci masing-masing.

Ernst berkata, kajian dilakukan Pusat Forum Penyelidikan Pew mengenai agama dan kehidupan awam bertujuan menggalakkan pemahaman mendalam berkaitan isu pertembungan agama dan kehidupan awam menunjukkan, kebanyakan rakyat Amerika tahu sedikit saja mengenai agama orang Islam.

Daripada kajian itu, 55 peratus mengatakan mereka tidak tahu sangat (tidak tahu langsung 30 peratus dan 25 peratus tidak tahu agama dan amalannya); tahu sedikit mengenai agama (35 peratus) dan tahu banyak (9 peratus). Peratusan ini tidak berubah sejak 2007.

Di tengah kontroversi cadangan pembinaan Pusat Kebudayaan Islam dan masjid berhampiran tapak Pusat Dagangan Dunia (WTC), lebih ramai rakyat Amerika bersetuju dengan pihak yang membantah daripada yang menyokong (51 peratus membantah berbanding 34 peratus menyokong).

Bagaimanapun, 62 peratus berkata, Muslim patut mempunyai hak sama rata dengan kumpulan agama lain untuk membina rumah ibadat mereka manakala 25 peratus berkata, masyarakat setempat yang tidak mahu boleh menghalang pembinaan masjid di kawasan mereka.

No comments: