Pages

Monday, October 25, 2010

Kek lapis Sarawak sepanjang 18 meter catat rekod



RABIAH Amit menunjukkan sijil pengiktirafan dari 'Malaysia Book Of Records' setelah berjaya menghasilkan kek lapis sepanjang 18 meter yang terpanjang di Malaysia sempena Karnival Malaysia Inovatif 2010, di Tebingan Sungai Kuching, Sarawak, semalam.


KUCHING 24 Okt. - Seramai 20 pengusaha Persatuan Kek Lapis Sarawak hari ini berjaya mencatat sejarah dalam rekod Malaysia Book Of Records (MBOR) dengan menghasilkan kek lapis terpanjang berukuran 18 meter.
Kek seberat kira-kira 1.5 tan hasil gabungan daripada 135 biji kek itu menelan kos RM30,000, sekali gus mengatasi rekod lama kek lapis terpanjang sebelum ini iaitu 14 meter yang dibuat dua tahun lalu.
Pengerusi Persatuan Kek Lapis Sarawak, Rabiah Amit berkata, tempoh tiga hari diperlukan bagi menyiapkan kek yang diberi nama 'Kek 1Malaysia Inovatif' itu di kilangnya di Demak Laut sebelum berjaya disiapkan sepenuhnya hari ini.
Ujarnya, kerja-kerja membuat kek lapis itu membabitkan penggunaan 9,000 biji telur, 300 kilogram (kg) tepung gandum, 300 kg gula dan 6,000 kg mentega tidak termasuk bahan-bahan lain seperti Horlicks dan sebagainya.
"Hari ini merupakan detik bersejarah bagi persatuan kerana pelbagai cabaran yang dihadapi termasuk tidak cukup tidur untuk menyiapkan kek lapis ini berbalas dengan pengiktirafan daripada MBOR.
"Walaupun timbul rasa takut projek ini tidak akan berjaya disiapkan, saya bersyukur kerana hasil usaha sama rakan-rakan serta dorongan suami, projek ini akhirnya berjaya dilaksanakan," katanya di sini hari ini.
Beliau berkata demikian selepas menerima sijil pengiktirafan daripada wakil MBOR, Syed Munif Al-Idrus Syed Omar pada majlis Karnival Malaysia Inovatif 2010 Zon Sarawak di Tebingan Kuching di sini.
Majlis disempurnakan isteri kepada Timbalan Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi, Datuk Fadillah Yusof, Datin Ruziah Mohd. Tahir.
Dalam pada itu, Rabiah memberitahu, sebahagian daripada hasil jualan kek lapis berkenaan akan disumbangkan kepada beberapa rumah anak yatim di Kuching dan Sri Aman.
Katanya, Persatuan Kek Lapis Sarawak mempunyai perancangan untuk membuat kek lapis tertinggi menyerupai bentuk bangunan rasmi kerajaan negeri iaitu Wisma Bapa Malaysia.

No comments: