Pages

Monday, October 25, 2010

Pengasas WikiLeaks tak kesal dedah kebenaran di Iraq





2010/10/25

GAMBAR fail menunjukkan polis  Iraq cedera didera  mendapatkan rawatan  di hospital Yarmouk,  Baghdad,  pada November 2005.
GAMBAR fail menunjukkan polis Iraq cedera didera mendapatkan rawatan di hospital Yarmouk, Baghdad, pada November 2005.
LONDON: Pengasas WikiLeaks, Julian Assange, semalam mempertahankan tindakan laman webnya mendedahkan 400,000 dokumen sulit tentera Amerika Syarikat membabitkan perang di Iraq, sambil menegaskan ia menyiarkan 'kebenaran' mengenai konflik berkenaan. 

Dokumen daripada 2004 hingga 2009 itu mendedahkan butiran terperinci konflik, terutama penderaan dilakukan pasukan keselamatan Iraq ke atas penduduk awam.
“Pendedahan ini adalah mengenai kebenaran,” kata Assange dalam satu sidang akhbar di London, selepas dokumen terbabit disiarkan di internet. “Usaha menidakkan kebenaran perang di Iraq sudah berlaku sebelum perang bermula dan akan berterusan lama selepas sesuatu peperangan berakhir. Kami bertanggungjawab mendedahkan kebenaran itu,” katanya.

Beliau berkata pihaknya mendedahkan lebih 15,000 kematian berbanding apa yang diketahui sebelum ini. 

Dokumen yang didedahkan secara tidak langsung menunjukkan tentera Amerika sengaja menutup sebelah mata terhadap bukti penderaan dilakukan ke atas rakyat Iraq oleh pihak berkuasa negara itu. 

Assange berkata, dokumen terbabit juga menunjukkan bahawa ‘pertumpahan darah berlaku di mana saja.’ 
Washington dan London memberi amaran pendedahan dokumen itu boleh membahayakan nyawa tentera pakatan dan orang awam Iraq, walaupun kementerian di Iraq berkata, dokumen berkenaan tidak mengandungi ‘kejutan’. 

Dalam satu pengumuman yang semakin membimbangkan Amerika Syarikat, jurucakap WikiLeaks, Kristinn Hrafnsson berkata laman web itu akan mendedahkan kira-kira 15,000 fail sulit perang di Afghanistan. 

WikiLeaks menimbulkan kemarahan Washington apabila ia mendedahkan 92,000 dokumen mengenai perang Afghanistan Julai lalu, manakala kumpulan hak asasi membuat kritikan dengan menyatakan pendedahan nama pemberi maklumat di Afghanistan boleh mengancam nyawa mereka. 

Dokumen didedahkan kelmarin memberi gambaran penderaan dan pembunuhan orang awam, selain peranan Iran dalam perang Iraq, selain penderitaan yang terpaksa ditanggung berikutan pencerobohan Amerika menggulingkan Saddam Hussein pada 2003. – AFP

No comments: