SRINAGAR, India 17 Sept. - Polis menembak mati dua penunjuk perasaan di Kashmir hari ini ketika orang ramai melanggar perintah berkurung dan melontar batu ke arah pasukan keselamatan dalam ketegangan terbaru di wilayah banjaran Himalaya ini.
Pakistan menuduh India melakukan 'kekejaman' dan bertindak keras ke atas penunjuk perasaan dalam protes yang masuk bulan ketiga menentang pemerintahan India di Kashmir, wilayah yang dituntut kedua-dua kuasa nuklear ini.
Seramai 96 orang terkorban sejak protes tercetus pada Jun lalu mengikut kiraan AFP, dengan 17 maut pada Isnin lalu dalam keganasan terburuk di kawasan yang didiami majoriti penduduk Islam ini sejak lebih enam dekad.
Polis berkata, sekurang-kurangnya dua orang terbunuh dan 16 yang lain cedera hari ini selepas anggota keselamatan India melepaskan tembakan di empat tempat.
Seramai tujuh lagi cedera lewat semalam di bandar Sopore, 50 kilometer di utara Srinagar.
Menteri Luar Pakistan, Shah Mehmood Qureshi yang pada Julai lalu mengadakan rundingan dengan rakan sejawat dari India, S.M. Krishna bagi memulihkan hubungan antara kedua-dua negara, hari ini mengutuk tindakan India itu.
"Pencabulan hak asasi manusia besar-besaran dan sistematik oleh India di Kashmir mesti dihentikan. Pakistan menyeru kerajaan India agar menahan diri," tegas beliau yang menyifatkan pembunuhan, penahanan dan tangkapan yang dibuat sebagai 'tidak boleh diterima'. - AFP
No comments:
Post a Comment