Pages

Saturday, September 18, 2010

iPad jadi rebutan di China


BEIJING 17 Sept. - Beratus-ratus pelanggan berbaris panjang untuk membeli iPad yang dijual secara rasmi buat kali pertama di China, hari ini.
Pelancaran iPad di China yang merupakan pasaran Internet terbesar di dunia dilakukan selepas peminat berpeluang membeli produk Apple tersebut di pasaran tidak rasmi sejak beberapa bulan lalu.
Gedung Apple di Beijing dan Shanghai serta wakil penjual sah di seluruh negara ini mula menawarkan model iPad yang dilengkapi ciri Wi-Fi hari ini, setelah berjuta-juta model tersebut sudahpun dijual di Amerika Syarikat (AS) dan beberapa negara lain.
Penganalisis meramalkan permintaan tinggi untuk iPad di China sekalipun kekurangan perisian dalam bahasa Mandarin dan sekalipun negara ini merupakan pasaran tidak rasmi yang sangat besar bagi produk Apple yang dibawa masuk dari Hong Kong, Singapura dan AS untuk dijual semula.
Di gedung utama Apple di Beijing, seorang pelanggan, Han Ziwen, 35, berkata, dia berkhemah selama 60 jam untuk memastikan dia berada di barisan hadapan apabila pintu dibuka pada pukul 8 pagi ini (waktu sama di Malaysia).
Pemilik kedai buku itu menjulang dua buah iPad sebagai tanda kemenangan, disambut tepuk sorak beratus-ratus pelanggan lain yang berdiri dalam hujan lebat.
Ziwen membeli iPad dalam versi-versi 16 gigabait dan 32 gigabait pada harga 8,776 yuan (RM4,176), melebihi gaji bulanan kebanyakan rakyat China.
"Bagi saya kedua-duanya tidak mahal," katanya.
Di Shanghai, sehingga 200 orang beratur di luar gedung bawah tanah Apple yang dibuka pada Julai lalu.
Pembeli pertama, Ma Ya, 46, berkata, dia menunggu sejak pukul 1 petang semalam untuk merebut peluang membeli sebuah iPad baru.
"Saya sudah pun memiliki sebuah iPad 32GB yang dibeli di Jepun. Saya mungkin menghadiahkan iPad lama itu kepada seorang kakitangan," kata Ma Ya, seorang peniaga karya seni. - AFP

No comments: