Pages

Saturday, September 18, 2010

Isu pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat

BAITULMAQDIS: Israel semalam mengulangi keengganannya untuk melanjutkan sekatan terhadap pembinaan penempatan Yahudi yang akan berakhir bulan ini.
Kenyataan itu dibuat meskipun terdapat desakan daripada Amerika Syarikat dan ancaman Palestin untuk memulaukan rundingan damai.
“Perdana Menteri (Benjamin Netanyahu) tidak mengubah pendiriannya berhubung isu ini. Soal melanjutkan penangguhan pembinaan itu tidak berbangkit,” kata seorang pegawai kanan rejim berkenan.

Tempoh 10 bulan yang menyekat pembinaan penempatan Yahudi di Tebing Barat itu berakhir hujung bulan ini.

Keputusan untuk tidak melanjutkan sekatan itu yang tidak meliputi kawasan timur Baitulmaqdis diambil baru-baru ini oleh Forum Tujuh Menteri Kabinet Kanan, lapor akhbar yang rapat dengan rejim Israel, Hayom.

Menurutnya, keputusan itu disampaikan kepada Setiausaha Negara Amerika Syarikat, Hillary Clinton yang kini berada di Asia Barat dalam usaha menyegerakan proses damai.

Isu penempatan Yahudi adalah yang paling rumit dalam rundingan damai Asia Barat yang dilancarkan semula awal bulan ini selepas terhenti selama 20 bulan.

Kedua-dua pihak masih berselisih pendapat mengenai penyambungan semula pembinaan penempatan itu, kata seorang pegawai kanan Palestin selepas Netanyahu dan Presiden Palestin, Mahmud Abbas serta Hillary berunding selama dua hari baru-baru ini.

Pegawai itu berkata, rundingan yang diadakan di Mesir dan Baitulmaqdis itu gagal menyelesaikan perselisihan pendapat, sekali gus mengancam rundingan damai.

Mahmoud memberitahu pemimpin rejim Zionis berkenaan, beliau akan memulaukan rundingan itu jika Israel tidak melanjutkan sekatan itu.

Kira-kira 500,000 pendatang Yahudi menetap di lebih 120 penempatan yang dibina Israel di Tebing Barat dan timur Baitulmaqdis, wilayah yang dijangka membentuk sebahagian besar negara Palestin pada masa depan. - Reuters

No comments: