NEW YORK 17 Sept. - Syarikat petroleum, BP tersingkir daripada senarai 100 jenama terbaik di dunia selepas kejadian tumpahan minyak melibatakan syarikat minyak itu di Teluk Mexico beberapa bulan lalu.
Pengeluar kereta dari Jepun, Toyota, yang terpaksa menarik semula kereta keluarannya di pasaran kerana beberapa masalah keselamatan, pula tersingkir daripada senarai 10 jenama syarikat terbaik yang didudukinya sejak tujuh tahun lalu.
Senarai terbaru itu dikeluarkan oleh Interbrand, sebuah syarikat perunding berhubung jenama.
Ketua Pegawai Eksekutif (CEO) Interbrand, Jez Frampton berkata, Toyota mampu pulih lebih cepat berbanding BP berdasarkan kejayaan syarikat pengeluar kereta itu mengendalikan krisis yang dihadapi sebelum ini.
"Toyota membuat keputusan tepat apabila kembali fokus kepada visi mereka serta terus bercakap tentang keutamaan syarikat itu, iaitu kualiti dan keselamatan.
"Namun, BP hanya bercakap tentang taktik dan bukannya strategi dan mereka masih lagi tidak memberitahu tentang rancangan masa depan mereka," katanya.
Jenama penting bagi sesebuah syarikat kerana ia memudahkan pelanggan mengingatinya dan sentiasa memilih produk mereka.
Interbrand melakukan penilaian ke atas jenama terbaik berdasarkan jumlah keuntungan yang diperolehi, selain mengambil kira kemampuan untuk terus kekal di pasaran serta menambah permintaan.
Coca-Cola, IBM dan Microsoft sekali lagi menguasai tiga tangga teratas sebagai jenama terbaik antarabangsa dengan Coca-Cola kekal berada di tangga pertama sejak kaji selidik ini diperkenalkan pada 2000.
Jenama Coca-Cola tahun ini berjaya memperolehi keuntungan sebanyak AS$70.45 bilion (RM218.82 juta).
Google yang sebelum ini berada di tempat ketujuh kini naik ke tangga keempat, manakala Apple pula meningkat ke tangga ke-17 dari tangga ke-20. - AP
No comments:
Post a Comment