Pages

Saturday, September 18, 2010

Kos tunai haji naik 25 peratus




2010/09/18

Arab Saudi ramal jemaah belanja RM20.73b laksana ibadat tahun ini 

JEDDAH: Jemaah asing yang berkunjung ke Arab Saudi untuk menunaikan haji tahun ini dijangka membelanjakan lebih SR25 bilion (RM20.73 bilion), peningkatan kos 25 peratus berbanding tahun lalu.“Ia berikutan pertambahan bilangan jemaah, peningkatan kos penginapan, makanan dan harga tambang penerbangan,” kata Ali Hassan Nagoor, anggota Dewan Perdagangan dan Industri Jeddah.
Beliau menulis sebuah buku mengenai ekonomi jemaah tahun lalu dan menerangkan isu perbelanjaan itu kepada Arab News. 

“Banyak negara merancang menaikkan yuran sebagai langkah menghadapi penurunan bilangan jemaah disebabkan langkah ketat diguna pakai negara pentadbiran diraja ini tahun lalu kerana wabak selesema babi,” katanya. 

Bagi menghalang penyebaran wabak itu, lelaki berusia lebih 60 tahun, kanak-kanak bawah 12 tahun dan wanita hamil dilarang melakukan ibadat haji tahun lalu. 

Ali Hassan berkata, perbelanjaan jemaah yang mengerjakan umrah tahun ini turut meningkat 30 peratus berbanding tahun lalu, berikutan kos kemudahan naik di semua kawasan kediaman di Makkah. 
Itu termasuk kawasan sekitar Masjidil Haram yang naik sehingga kira-kira 25 peratus tahun lalu sebagai tambahan kepada peningkatan harga komoditi dan makanan yang dianggarkan lebih 10 peratus. 

“Harga tiket penerbangan turut meningkat, terutama ketika pertengahan Ramadan,” katanya lagi. Ali Hassan juga berkata, bilangan jemaah umrah tahun ini akan meningkat setengah juta lagi berbanding tahun sebelumnya kepada hampir empat juta. 

Beliau juga menjangka bilangan jemaah umrah mencecah lima juta dalam tempoh setahun hingga lima tahun akan datang dan menggesa persediaan dibuat untuk mereka termasuk mendirikan lebih banyak hotel dan peruntukan pengangkutan moden. 

Beliau turut merujuk kepada masalah kesesakan jemaah di lapangan terbang setiap tahun dan berkata jumlah mereka bertambah sejurus sebelum Aidilfitri apabila penduduk Arab Saudi mahu melancong ke luar negara. – Agensi

No comments: