Pages

Saturday, September 18, 2010

Ahli politik dibunuh di London




2010/09/18

Imran Farooq
Imran Farooq
Mangsa adalah pengasas parti MQM dalam kerajaan campuran Pakistan 

LONDON: Seorang ahli politik terkenal Pakistan yang tinggal dalam buangan di Britain dibunuh di luar rumahnya di pinggir bandar ini semalam, menyebabkan polis melancarkan siasatan besar-besaran.Imran Farooq, pengasas Pergerakan Muttahida Qaumi Pakistan (MQM) ditemui cedera di kepala dan ditikam di utara London kelmarin. MQM memiliki pengaruh besar di bandar terbesar negara itu iaitu Karachi.
Parti itu mengumumkan kematian Imran dalam laman web dan mengisytiharkan tempoh berkabung 10 hari, membatalkan ulang tahun sambutan pemimpinnya, Altaf Hussain, juga di London. 

Polis berkata, mereka dipanggil untuk menguruskan laporan serangan serius di Edgware, jam 5.30 petang waktu tempatan. 

“Pegawai menemui seorang lelaki Asia dengan kesan tikaman dan kecederaan kepala. Anggota perubatan merawat lelaki itu namun dia diisytiharkan meninggal dunia di tempat kejadian jam 6.37 petang,” kata jurucakap Polis Metropolitan London. 

Waris terdekatnya sudah dimaklumkan dan belum ada tangkapan dibuat, kata jurucakap polis. 
“MQM membatalkan sambutan ulang tahun ketua kami Altaf Hussain selepas insiden itu,” kata pemimpin MQM di Pakistan, Farooq Sattar, seorang pemimpin yang ‘memberi perkhidmatan cemerlang untuk parti,’ katanya. 

Sattar enggan mengulas apabila ditanya siapa yang mungkin membunuhnya dan mengapa. 

“Pihak berkuasa di London sedang menyiasat dan kami harap pembunuhnya akan segera ditangkap dan dihukum,” katanya. 

Perdana Menteri Pakistan Yousuf Raza Gilani mengutuk pembunuhan Imran. Penyokong parti yang setia berkumpul di luar rumah mangsa di Karachi, memujuk antara satu sama lain sambil menitiskan air mata. – AFP 

No comments: