Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/04/11
MOHD Fadzil dan isteri, Saadiah di tepi kolam ikan keli mereka di Taman Agrotek Bestari Jaya, Kuala Selangor.
MINATNYA bermula dengan melihat seorang lelaki berketurunan Cina menyewa lombong menjalankan perniagaan menternak ikan keli selama 15 tahun. Dia pernah bertanya bagaimana dengan kerjaya itu tetapi jawapan ‘teruk’ yang diberi lelaki berkenaan tidak dipercayai, sebaliknya menjadi pembakar semangat Mohd Fadzil Ibrahim, 57, untuk mencari peluang meneroka kerjaya sama.
“Satu perkara mengenai orang Cina ialah mereka tidak akan membuat sesuatu kerja jika ia tidak memberi pulangan lumayan. Itu yang saya percaya dan terbukti keputusan saya berhenti kerja dengan diberi pampasan untuk menjalankan perniagaan menternak keli bukan satu kesilapan,” katanya ketika ditemui di kolam ikan ternakannya Taman Agro Teknologi Pertanian Bestari Jaya di Kuala Selangor baru-baru ini. Mohd Fadzil mengaku ‘teruk’ pada awal pembabitan dalam bidang yang diusahakannya sejak 1991 tetapi selepas 20 tahun, dia kini boleh berbangga dengan 200 kolam ternakan ikan miliknya di tanah seluas dua hektar milik kerajaan negeri Selangor.
Kini kolam milik Mohd Fadzil dengan setiap satunya berukuran 6 meter X 9 meter X 1.2 meter tinggi menempatkan 10,800 ikan keli, selain tilapia hitam sebanyak 2,000 ekor, tilapia merah, puyu, patin serta beberapa spesies ikan peliharaan seperti ikan emas dan pelaga.
Melaburkan RM84,000 sebagai modal, RM34,000 diberikan oleh Lembaga Pertubuhan Peladang (LPP) di bawah Skim Usahawan Peladang, manakala selebihnya hasil simpanan, Mohd Fadzil dan isteri, Saadiah Kamit, mula menternak keli pada 2006 selepas mendapati ia mendapat pasaran baik.
“Ramai yang tidak tahu penduduk Lembah Klang memerlukan bekalan ikan keli sebanyak 15 tan sehari. Cuba bayangkan permintaan yang menanti pengusaha ikan ini. Pasaran memang ada tetapi penternak tidak boleh terlalu bergantung kepada orang lain. Mereka perlu bijak merangka strategi sendiri.
“Cuma saya hendak ingatkan kepada mereka yang berminat untuk menceburi bidang ini bahawa ia tidak menjanjikan keuntungan dalam tempoh singkat tetapi saya berani jamin ia berterusan dan lumayan. Pendapatan saya 100 peratus dari sini,” katanya yang dibantu oleh enam daripada tujuh anaknya serta dua pekerja luar menguruskan kolam berkenaan.
Kesungguhan Mohd Fadzil membuatkan dia terpilih sebagai pemenang anugerah Penternak Ikan Air Tawar Selangor buat kali pertama pada 1993. Selain menternak, Mohd Fadzil turut menjalankan proses penetasan serta menganjurkan kursus penternakan kepada mereka yang berminat.
Beliau juga mengingatkan kepada sesiapa yang berminat menternak ikan keli supaya tidak mengusahakannya secara kecil-kecilan, sebaliknya memulakan operasi secara besar-besaran sekali gus kerana ia lebih menguntungkan.
Menariknya, ikan keli yang datang dari kolam Mohd Fadzil boleh dimakan tanpa was-was oleh pengguna Islam kerana beliau memberi jaminan bahan makanan yang diberi adalah halal.
“Saya memandang industri ini sebagai fardu kifayah kerana ramai orang Melayu yang makan ikan keli. Ikan yang diternak orang bukan Melayu diberi makan perut ayam, bahan buangan, bangkai dan organ dalaman babi. Semua benda itu tidak halal untuk umat Islam.
“Ikan saya sebaliknya diberi makan palet halal iaitu campuran beras hancur, tepung ikan, kepala ikan bilis, minyak sawit, bahan buangan kelapa sawit, kiambang dan vitamin. Semua benda itu pula mudah diperoleh di sekeliling kita dan jika dikomersialkan, kerajaan menjimatkan berjuta ringgit untuk mengimport bahan berkenaan.
“Orang Islam perlu bijak membezakan ikan yang diberi makanan bahan haram dan bahan halal kerana perbezaannya amat ketara dari segi bentuk ikan itu sendiri. Ia mudah dikesan,” katanya.
Disebabkan bahan makanan haram itu mudah diperoleh, pengusaha Melayu sukar mendapat tempahan pasar raya, pasar basah dan pemborong kerana harga yang ditawarkan oleh pengusaha bukan Melayu jauh lebih murah sedangkan palet ikan lebih mahal.
“Mereka boleh menjual pada harga RM2.50 untuk sekilogram tetapi kita terpaksa mengenakan harga RM3.80 untuk satu kilogram. Itu satu persaingan sengit dan selalunya di situlah pengusaha Melayu ketinggalan,” katanya.
Menyentuh mengenai pasaran ikan keli, Mohd Fadzil berkata, selain dijual terus ikan keli boleh dijadikan salai, dikeringkan, filet, otoshimi iaitu proses mengeluarkan tulang ikan untuk dijadikan keropok, serunding dan satar serta surimi iaitu sejenis bebola ikan, malah ada permintaan mendapatkan kulit ikan keli matang dari Romania untuk dibuat dompet, tali pinggan dan beg tangan wanita.
Sayangnya Mohd Fadzil tidak dapat memenuhi permintaan itu kerana bekalan tidak mencukupi.
Menyentuh mengenai cara menternak ikan berkenaan, Mohd Fadzil berkata, ia diberi makan dua kali sehari iaitu waktu pagi dan petang dan pada bulan pertama keli perlu diberi makanan berprotein tinggi.
“Ikan keli kacukan Afrika Malaysia sudah boleh dijual pada usia tiga bulan berbanding keli Malaysia yang memerlukan enam bulan untuk matang. Namun kebanyakan keli yang ada di pasaran adalah kacukan,” katanya.
Info
Perbezaan ikan keli memakan bahan haram dan halal
Haram
Halal
No comments:
Post a Comment