Pages

Monday, April 19, 2010

National Geographic di dasar laut



Saksikan kehidupan di dasar laut dan selusuri misteri marin yang mempesonakan dengan slot Istimewa Earth Hour 2010 yang akan bersiaran di saluran National Geographic 22 April ini.


SEMPENA Hari Bumi, National Geographic menyiarkan dokumentari- dokumentari menarik mengenai kehidupan laut.



BULAN April ini, siaran National Geographic (NGC) bakal memenuhi selera informasi penonton dengan tayangan kehidupan dasar laut yang semakin terancam. Penonton akan dibawa menyelusuri metropolis di dasar laut yang menjadi habitat begitu banyak hidupan.
Pasti ramai tidak tahu bahawa 20 peratus batu karang di lautan seluruh dunia sudah hilang. Lebih buruk lagi, sebanyak 90 peratus binatang pemangsa gergasi laut mati akibat aktiviti manusia yang tidak bertanggungjawab.
NGC ingin meningkatkan kesedaran orang ramai akan kepentingan laut yang memberikan separuh daripada oksigen yang kita sedut setiap hari, 100 juta tan makanan setahun dan menyedut suku daripada karbon yang kita lepaskan ke atmosfera setiap hari.
Meraikan Hari Bumi dengan slot Istimewa Earth Hour 2010, NGC akan mempertontonkan dengan lebih mendalam mengenai kehidupan marin yang ditemui dengan menjengah ke dasar laut.
Tanggal 22 April ini pada pukul 1 tengah hari, penonton akan melihat kumpulan peneroka elit National Geographic termasuk pakar ekologi marin, Dr. Enric Sala, pakar pemuliharaan, Dr. Mike Fay dan pakar antropologi, Dr. Kenny Broad menyelam ke dasar laut bagi mencari jawapan mengenai tabiat jerung dan hidupan laut yang pupus 1,000 tahun lalu.
Setiap jam penonton akan dibawa melihat gambaran sebenar dan visual dari kawasan batu karang yang jarang diterokai manusia dan gua di dasar laut yang dipenuhi stalagmit.





Dalam rancangan Shark Eden, Sala akan menerokai pulau-pulau di kawasan selatan yang dipenuhi jerung namun jarang diterokai manusia. Ia bagi melengkapkan kajiannya mengenai kehidupan mikrob dan haiwan pemangsa.
Kumpulan Sala memasuki kawasan itu sebanyak 10 kali selepas mendapati keadaan sesuatu kawasan batu karang boleh mempengaruhi jumlah kehadiran jerung. Penemuan mereka turut menimbulkan persoalan mengenai ekosistem batu karang yang sihat.
Sepanjang menyelesaikan penyelidikan kehidupan di kawasan batu karang daripada mikro ke mega tersebut, kumpulan Sala membongkar rahsia khazanah kepulauan yang masih wujud di bumi.
Mereka menyelusuri kira-kira 3,000 kilometer selaman selama 30 hari dan berhadapan pelbagai cabaran berbahaya seperti terdedah kepada ombak besar. Sepanjang penerokaan itu juga, mereka menemui lebih tiga kali ganda batu karang seperti yang didapati di Pulau Flint dan Indo-Pasifik.
Di persekitaran Pulau Malden, kawasan percubaan tiga bom nuklear pada tahun 1958, kumpulan itu menemui batu karang yang dipenuhi hidupan dan lebih sepuluh kali ganda jerung berbanding kajian-kajian batu karang lain di dunia.
Gua dasar laut
Sementara itu, Broad pula akan menyelusuri misteri gua-gua di dasar laut yang bertindak ibarat kapsul masa cecair dan memegang kunci kepada pemahaman mengapa kehidupan di pulau-pulau Bahamas pupus 1,000 tahun lalu di dalam rancangan Diving The Labyrinth yang akan ke udara pada pukul 3 petang.
Kebanyakan penyelam gua terbaik dunia yang pernah ke kepulauan di Bahamas pasti akan menemui keunikan di gua-gua dasar lautnya. Gua-gua yang terletak sama ada ratusan atau ribuan kaki ke dasar laut memiliki laluan dan terowong yang mengelirukan.
Kumpulan Broad menyiasat gua-gua itu untuk membongkar misteri purba Bahamas yang kaya dengan hidupan tetapi dengan cepat ia pupus, meninggalkan kepulauan itu hampir ketandusan.


BROAD menyelam di dalam gua dasar laut di Bahamas.



Selain itu, dalam Underwater Oasis yang akan ditayangkan pada pukul 6 petang, ia memaparkan metropolis dasar laut di pantai selatan Afrika yang tidak mungkin ditemui di tempat lain.
Bukit pasir fosil menjulang puncak dan gua yang dalam terlindung lima kilometer di dalam laut. Aliwal Shoal adalah tempat kawanan jerung dan ikan-ikan berenang di dasar laut. Ia tempat sinaran suria tercantik dan kediaman jerung termasuk jerung harimau.
Shark Eden dan Diving The Labyrinth diterbitkan oleh National Geographic Television, manakala Underwater Oasis diterbitkan oleh Crystal Clear Productions.

No comments: