Oleh M Thillinadan
2010/03/21
Usahawan anggap amalan bantu kejayaan syarikat bertaraf globalMUNGKIN ramai daripada kita tidak pernah terfikir bahawa tindakan berdiam diri (silence) boleh menjadi sesuatu yang amat berkuasa. Tindakan membisu seribu bahasa atau menahan diri daripada bercakap mempunyai kekuatan yang tidak pernah dirasai dan boleh menjadi pengalaman yang menukar kehidupan seseorang, membantu menilai diri, sejarah dan masa depan seseorang.
Malah, dalam ‘silence’ seseorang boleh dikatakan boleh mencapai kejayaan luar biasa, menggunakan masa itu untuk menyelami permasalahan, menilainya dan merancang bagaimana untuk mengatasinya.
Itulah juga rahsia kejayaan pengasas dan pengerusi eksekutif QI Group Of Companies, Datuk Vijay Eswaran, anak tempatan yang kini mengetuai konglomerat yang rangkaiannya merentasi hampir semua benua, Eropah, Amerika, Afrika, Australia selain Asia membabitkan lebih 90 negara. Dengan permulaan kecil kira-kira 12 tahun lalu bersama sekumpulan 11 anak muda daripada beberapa negara serantau dan Eropah, khususnya ketika zaman awal ledakan e-perdagangan dan dengan pangkalan mereka di Hong Kong, pendapatan Kumpulan QI kini mencecah hampir US$1 bilion (RM3.5 bilion) setahun.
Bermula sebagai sebuah syarikat jualan langsung melalui konsep e-perdagangan pada 1998, QI yang kini terbabit dalam lebih 28 jenis perniagaan termasuk industri pelancongan, khususnya pelancongan kesihatan, pelaburan dan pembangunan hartanah, telekomunikasi, jualan langsung pengembaraan, resort, produk kesihatan, stesen televisyen, jam tangan, kini mempunyai 5.5 juta pelanggan di seluruh dunia.
Vijay, 50, anak kelahiran Pulau Pinang berkata mendapat ilham dan inspirasi untuk terbabit dalam perniagaan selepas setahun menjelajah ke beberapa negara Eropah, selepas tamat pengajian ijazah sarjana muda di United Kingdom.
Dalam tempoh setahun itu beliau melakukan banyak kerja sementara termasuk di ladang ladang anggur, pembinaan dan atendan ambulans di Itali, Belgium, Sepanyol dan Denmark sebelum menyertai sebuah biara di Itali.
Di situlah juga, Vijay berdiam diri yang disifatkan membolehkannya menemui kekuatan dan mencungkil rahsia dirinya. Sehingga hari ini, beliau masih mendiamkan diri sejam sehari, sama ada antara jam 4 dan 5 pagi atau 5 hingga 6 pagi sebelum matahari terbit.
Tokoh perniagaan yang berperwatakan rendah diri ini juga sentiasa diundang untuk memberi ceramah di seluruh dunia, sama ada untuk tujuan motivasi, perniagaan, kepemimpinan dan kerohanian, termasuk kuasa berdiam diri itu.
Malah, pada 2007, Vijay juga dijemput untuk berucap pada Forum Perniagaan CHOGM di Uganda dan Simposium Kepimpinan dan Perniagaan Antarabangsa di Parlimen Eropah.
Beliau kemudian memutuskan untuk menulis buku mengenai rahsia dan kekuatan ‘silence’. Buku dinamakan ‘In The Sphere Of Silence’ disifatkannya sebagai ‘alat untuk mencapai kejayaan dalam zaman serba moden’ ini.
Buku ini adalah falsafah perjuangan dan hidupnya. Kali pertama dikeluarkan pada 2004 untuk kegunaan sendiri, tetapi atas permintaan ia diterbitkan semula dan dilancarkan di Expo Buku Amerika di New York dalam tujuh bahasa dan sudah dijual melebihi 25,000 naskhah di seluruh dunia.
Buku ini mengenai pengurusan hidup - digunakan untuk kehidupan harian dan profesional, khususnya dalam perancangan perniagaan.
Dalam bukunya, Vijay berkata: ‘In silence, truth is loudest’, ‘You are the master of every word that you are yet to utter, but a slave to every word you have already uttered.’ (Dalam berdiam diri, kebenaran yang paling nyata. Anda menjadi tuan kepada setiap perkataan yang bakal diucap tetapi hamba kepada semua kata-kata yang sudah diucap.”
Baginya, mesejnya jelas - “Korbankan sejam setiap hari daripada 24 jam dan anda akan dapat mengawal 23 jam lagi”. Bagaimanapun, katanya, usaha itu mesti berterusan, bukan saja tidak bercakap, juga tidak boleh mendengar muzik atau menonton televisyen atau tidur. Ia mesti satu jam yang paling produktif untuk minda.
Amalan itu diterapkan dalam syarikatnya dan selepas 12 tahun merantau di negara orang, Vijay memutuskan untuk memindahkan operasi QI ke Malaysia. Untuk tujuan itu, QI membeli sebuah bangunan 16 tingkat di PJ8 (bertentangan Hotel PJ Hilton, Selangor) pada harga RM60 juta untuk dijadikan ibu pejabat globalnya.
Ditanya tujuan kembali ke Malaysia, Vijay berkata ia atas dorongan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Abdullah Ahmad Badawi dalam satu pertemuan di luar negara.
Antara projek besar dalam negara yang dalam perancangan sekarang adalah projek mewah Kelana Resort di Rompin, Pahang dengan pelaburan bernilai RM700 juta, termasuk pemuliharaan hutan hujan berusia lebih 110 juta tahun di sekitarnya.
Kumpulan itu juga dalam perbincangan untuk membeli tiga hospital swasta di Kuala Lumpur berikutan kekuatannya dalam pelancongan perubatan. Butirannya akan dikeluarkan selepas selesai pengambilalihannya.
Vijay dan syarikatnya juga tidak kurang kontroversinya, khususnya aspek perniagaan jualan langsung Kumpulan QI. Antaranya aduan mengenai perlanggaran peraturan pengguna di India dan Filipina, kesalahan model perniagaan di Iran dan Nepal, selain aduan penipuan di Indonesia. Vijay juga pernah ditahan di Indonesia dan Filipina untuk siasatan serta diletakkan dalam Red Alert Interpol di Indonesia, bagaimanapun semua tuduhan terhadap beliau dan syarikat digugurkan selepas didapati tiada kes untuk dijawab.
INFO: Datuk Vijay Eswaran
- Umur: 50 tahun.
- Isteri: Umayal (berkahwin pada 1990)
- Pendidikan: Penang Free School, ACS Ipoh, prauniversiti (Singapura), ijazah perakaunan (United Kingdom) dan Sarjana Pengurusan Perniagaan (MBA)
- Buku : In The Sphere Of Silence (2004); In The Thinking Zone; The Silent Warrior (dalam proses)
- 1998 : Memulakan Kumpulan Quest International Ltd (QI) bersama beberapa rakan. Perniagaan produk mewah termasuk duit syiling khas, pelaburan dan pembangunan hartanah, jualan langsung dan e-perdagangan, latihan pengurusan, telekomunikasi, gaya hidup/riadah, teknologi maklumat.
- 2006 : Dianugerahkan Darjah Indera Mahkota Pahang (DIMP)
No comments:
Post a Comment