Maksud 'mencari penumpang' kerana di sini selalunya berlaku tawar menawar terutama pada waktu malam yang menyebabkan sesetengah penumpang yang baru menjejakkan kaki di Kuala Lumpur atau yang terdesak terpaksa membayar harga lebih tinggi.
Puduraya ditutup selama empat bulan bagi membolehkan kerja-kerja menaik taraf hentian yang sudah sinonim dengan warga desa dan kota itu. Suatu masa dulu, Puduraya adalah tempat pertemuan orang desa dan kota selain stesen Keretapi Tanah Melayu Kuala Lumpur berhampiran Masjid Negara. Kini KL Sentral mengambil alih Stesen Kuala Lumpur.
Dan pada penghujung tahun ini, dijangka Terminal Pengangkutan Bersepadu Bandar Tasik Selatan akan menjadi hab pengangkutan awam yang menggabungkan perkhidmatan bas, Transit Aliran Ringan (LRT), Express Rail Link (ERL) dan Komuter KTMB. Diharapkan terminal yang tersergam indah akan diiringi dengan perkhidmatan yang lebih cekap sama ada melibatkan bas, LRT dan komuter. Tiada gunanya mempunyai bangunan atau prasarana hebat atau gah di luar tetapi 'isinya' kurang enak.
Perkhidmatan biarlah setaraf dengan kehebatan terminal itu sendiri.
Ketika ini mutu perkhidmatan pengangkutan awam bukanlah sesuatu yang boleh dibanggakan. Mungkin yang agak baik sedikit ialah khidmat monorel dan LRT. Bas juga kadangkala baik tetapi disebabkan kesesakan di Kuala Lumpur, masa menjadi penghalang. Manakala komuter tidak banyak perubahan pada waktu tertentu termasuk ketika cuti hujung minggu. Jumlah penumpang yang meningkat ditambah tempoh menunggu selama setengah jam menyebabkan penumpang di satu-satu stesen komuter akan bertambah pada satu-satu masa. Tidak perlulah diulas panjang mengenai komuter. Sudah banyak kali ditulis mengenainya, nanti terguris pula perasaan orang di KTMB. Kepada penumpang komuter bersabarlah! Bersyukurlah dengan perkhidmatan yang tersedia. Ia lebih baik daripada tiada. Memang hasrat hati hendak mengulas lagi sistem komuter atau pengangkutan awam lebih-lebih lagi isu ini turut mendapat perhatian Perdana Menteri. Semoga nasib penumpang yang menyahut seruan kerajaan supaya menggunakan pengangkutan awam bagi mengelakkan kesesakan akan terus mendapat pembelaan.
Itu nasib penumpang. Bagaimana pula dengan nasib pemandu khususnya pemandu teksi?
Cerita biasa mengenai teksi ialah pemandu enggan guna meter, pilih destinasi/enggan ambil penumpang.
Nama saja teksi bermeter tetapi jenguklah di luar Kuala Lumpur seperti di Shah Alam, Kajang dan Serdang. Berselerak teksi bermeter tidak guna meter. Jika orang besar Lembaga Pelesenan Kenderaan Perdagangan (LPKP) pun boleh ditipu inikan pula orang biasa. Itulah ragam pemandu teksi di Lembah Klang.
Pihak berkuasa mengambil pelbagai langkah untuk mendisiplinkan pemandu teksi. Contohnya 'mewajibkan' pemandu mengeluarkan resit, melekatkan pengumuman mengenai teksi bermeter dalam bahasa Melayu dan Inggeris di kiri kanan pintu teksi. Baru-baru ini ada lagi risalah perlu dipamerkan berkaitan pelbagai perkara yang perlu dilakukan pemandu. Tetapi ada juga peraturan di risalah itu tidak logik.
Sejauh mana keberkesanan risalah seperti ini? Yang jelas teksi jadi macam papan iklan. Macam-macam pelekat ada. Padahal kebanyakan pengumuman itu sudah diketahui umum. Cuma bagaimana mahu dilaksanakan dan bentuk penguatkuasaannya. Adakah sekadar menampal pelekat atau mempamerkan risalah seseorang pemandu teksi itu sudah melaksanakan tanggungjawabnya?
Baru-baru ini seorang sahabat, cukup disebut di sini sebagai Pak Lang menceritakan bagaimana beliau disapa oleh dua lelaki di hadapan pusat membeli-belah di Jalan Imbi. Dua 'mamat' itu mahu ke KLCC. Maka Pak Lang pun ambil dua orang ini tetapi ketika meter baru menunjukkan sedikit peningkatan, si mamat ini minta Pak Lang menghentikan kenderaannya sambil mereka menyeluk saku masing-masing. Berderau darah Pak Lang kerana menyangkakan mamat-mamat itu hendak mengeluarkan senjata. Maklumlah Pak Lang pernah dirompak penumpang dan teksinya lesap selama seminggu.
Rupa-rupanya pegawai berkenaan adalah anggota penguat kuasa. Dua lelaki itu kemudian turun dari teksi menuju ke pusat membeli-belah itu semula tanpa membayar sesen pun. Kenapa ini harus berlaku? Tahukah pegawai penguat kuasa berkenaan bahawa pemandu itu sudah rugi kerana mengambil mereka berdua? Pemandu yang jujur tidak akan memilih penumpang. Tidak bertanya jauh atau dekat. Bila masuk, yang penting meter dipasang dan penumpang dibawa ke destinasi yang diminta. Memang penguat kuasa tidak tahu mana satu pemandu yang jujur tetapi sekurang-kurangnya sebagai 'pengguna' bayarlah walaupun tambang di meter sekadar menunjukkan RM2.50. Ambil resit kemudian buat tuntutan di pejabat kerana menjalankan tugas operasi penguatkuasaan. Sebenarnya banyak tempat lain yang tersedia untuk penguat kuasa mengesan pemandu yang tidak mengikut peraturan. Sudah banyak kali media laporkan.
Itu cerita Pak Lang. Lain pula cerita Pak Long bagaimana beliau ditipu penumpang. Dari Kajang, penumpang wanita berusia 30-an minta beliau bawa ke klinik di Kuala Lumpur untuk mencari ubat. Janji sewa pergi balik. Maka Pak Long yang jujur bawalah wanita itu ke beberapa klinik di Kuala Lumpur. Ketika pulang sampai di sebuah pasar raya, wanita itu minta diturunkan di situ untuk membeli sesuatu. Pak Long sabar menunggu walaupun hampir masuk maghrib dan berbuka puasa. Meter pula menunjukkan hampir RM100. Tunggu punya tunggu penumpang itu lesap. Pak Long hanya ditipu tetapi Pak Lang dirompak dan rakan-rakan Pak Lang dan Pak Long ada yang dirompak dan dicederakan.
Begitulah nasib pemandu teksi. Persoalannya jika penumpang mempunyai LPKP untuk mengadu di mana pula tempat pemandu teksi mengadu? Pemandu yang menyewa teksi perlu membayar sewa mereka setiap hari tanpa pengecualian (mungkin dua tiga hari dalam setahun sempena perayaan). Jika teksi hilang, mereka terlantar di hospital kerana diserang penumpang, sewa tetap perlu dibayar. Begitulah nasib pemandu yang perlu turut diberi perhatian. Pada masa yang sama pemandu yang benar-benar tidak mengikut peraturan perlu dikenakan tindakan yang berat tanpa sebarang tolak ansur lagi.
No comments:
Post a Comment