Pages

Monday, April 19, 2010

Bisa Black Widow



Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/04/04


<strong>Mangsa terbaring dalam letupan kereta api bawah tanah di stesen Lubyaka, Moscow.</strong>

Mangsa terbaring dalam letupan kereta api bawah tanah di stesen Lubyaka, Moscow.
Kumpulan penyerang didakwa balu mangsa kekejaman Kremlin di Chechnya

DUNIA mengenali Black Widow sebagai labah-labah berbisa yang mampu membunuh manusia dengan gigitan mautnya biarpun serangan sedemikian jarang berlaku. Namun, Isnin lalu, nama Black Widow itu timbul semula dan dikaitkan sebagai dalang serangan bunuh diri yang meragut 39 nyawa di dua stesen kereta api bawah tanah dekat Moscow.

Kali ini, Black Widow tidak lagi menjalin jaring memerangkap mangsa sebaliknya mengorbankan diri sendiri untuk mencapai apa saja matlamat yang membuatkan dua penyerang wanita itu bertindak nekad sedemikian. Kremlin mendakwa wanita ini yang melancarkan serangan dengan meletupkan tali pinggang yang dipakai ketika berada dalam kereta api sarat dengan penumpang berikutan waktu puncak.
Siapakah sebenarnya Black Widow ini? Mengapakah nama itu cuma sesekali timbul tetapi membawa bersama kesan kehancuran yang bukan sedikit? Berdasarkan laporan serta kajian lalu, Black Widow ini merujuk sekumpulan balu yang kehilangan suami, saudara lelaki atau saudara rapat dalam pergolakan dan peperangan pejuang Islam Chechnya dan Russia sejak tahun 1994. Kesedihan akibat kehilangan orang tersayang dan semangat membalas dendam yang terus menyala, dikatakan menjadi faktor penyebab Black Widow yang kebanyakannya tidak berpendidikan, mudah dipengaruhi menyertai kumpulan pejuang. 

Meneliti kejadian semula jadi wanita yang lembut dan lebih sabar, sukar untuk difahami bagaimana mereka sanggup senekad itu meragut nyawa orang lain dengan menjadikan diri sendiri sebagai pertaruhan. Punca dan pihak yang bertanggungjawab melancarkan serangan di Moscow itu masih samar tetapi Kremlin serta pihak Barat sudah pun meletakkan kesalahan di atas bahu kumpulan pejuang Chechnya berdasarkan penemuan mayat dua wanita, termasuk kepala seorang wanita muda dan cebisan satu lagi mayat wanita berusia. Mereka dikatakan berasal dari kawasan Pergunungan Caucasus itu berdasarkan ciri fizikal mereka iaitu struktur tulang muka dan kulit sawo matang.

Di sebalik siasatan yang sepatutnya menjurus mencari dalang sebenar serangan itu, pihak berkuasa Russia sudah pun melancarkan gerakan memburu 19 lagi Black Widow yang digembar-gemburkan cuma menanti masa melancarkan serangan berikutnya.

Di mata orang lain, mungkin mereka bodoh kerana mengorbankan nyawa demi matlamat yang belum tentu tercapai, apatah lagi Islam sememangnya melarang pembunuhan sedemikian. Namun bagi ‘Black Widow, mereka beranggapan cara ganas sedemikian sebagai satu-satunya pilihan bagi menyuarakan penderitaan yang dialami. 
Russia mungkin boleh terus mengecam apatah lagi dengan simpati dan sokongan masyarakat antarabangsa tetapi kenyataan kumpulan hak asasi manusia bahawa ia sebenarnya membantu menubuhkan Black Widow, juga harus diambil kira. Menurut kumpulan pejuang hak manusia itu, taktik kejam tentera Russia ke atas penduduk awam Chechnya termasuk wanita dalam usaha menghapuskan pejuang, hanya memburukkan lagi keadaan.

Kajian pakar psikologi, Anne Speckhard dan Khapta Akhmedova, ke atas 47 Black Widow, mendedahkan satu lagi sebab yang mampu menjadikan mereka mengambil tindakan serupa. Selain kematian suami, bapa, saudara lelaki, wanita Black Widow juga berdepan trauma berpanjangan apabila turut menjadi saksi maruah saudara perempuan mereka dicarik di depan mata selain dipaksa menjadi hamba nafsu serakah tentera Russia.

Lalu, bagi mereka, apa lagi cara terbaik menghilangkan trauma dirogol tanpa belas kasihan selain membalas dendam walaupun langsung tidak mengenai sasaran sebenar?

Kali terakhir bisa gigitan Black Widow menggegarkan dunia ialah pada tahun 2004, yang menjadi tahun penuh tragedi kepada Russia. Di luar dugaan sama sekali, mereka meletupkan dua pesawat penumpang yang baru berlepas dari Moscow, mengebom kereta api bawah tanah di ibu kota itu dan terbabit dalam peristiwa tebusan di Beslan. 

Tangan yang sepatutnya lembut menghayun buaian itu juga dikatakan bertanggungjawab dalam lebih 30 serangan yang sudah membunuh 900 orang di Russia sejak Julai 2001, apabila Khava Barayeva dan Luisa Magomadova memandu trak dipenuhi bahan letupan merempuh ibu pejabat tentera di perkampungan Chechen.

Black Widow juga dikatakan unit ditubuhkan komander pejuang Chechnya, Shamil Basayev, yang menjadi perancang utama tragedi Baselan pada tahun 2004. Dia dibunuh pada tahun 2006 dan sebelum kematiannya, Basayev dikhabarkan mahu menguji persediaan pihak berkuasa Russia dengan menghantar wanita muda memakai jeans atau wanita tua berjubah yang nyata tidak begitu mencurigakan berbanding pemuda Chechnya berkulit gelap dan memakai jaket murah.

Basayev menggelar batalion itu sebagai Riyad us Saliheen, mengandungi anggota lelaki dan wanita tetapi ahli wanitanya lebih menjadi perhatian media Russia. Tidak sukar menduga mengapa media lebih berminat kepada pengebom wanita. Sudah tentu lebih menjurus kepada dakwaan wanita itu dipengaruhi dan dipaksa kaum lelaki sekali gus menunjukkan kepada dunia Islam kononnya tidak pernah adil kepada wanita. 

Tulisan wartawan Julia Jusik bahawa ramai wanita dijual oleh ibu bapa mereka untuk dijadikan pengeboman bunuh diri manakala yang lain diculik dan diperdaya sudah cukup membuktikan betapa Barat tidak pernah ingin memberi keadilan kepada Islam. Atau mungkinkah anggapan itu dipermudahkan oleh umat Islam sendiri yang semakin leka mengikut corak yang direncanakan musuh ini?

INFO: Serangan Black Widow
  • Jun 2000 - Khava Barayeva dikenali Black Widow pertama selepas meletupkan diri di pangkalan tentera Russia di Chechnya.
  • Mei 2003 - Shakhida Baimuratova, membunuh 14 orang dan mencederakan 150 dalam cubaan membunuh Presiden Chechnya, Akhmad Kadyrov dalam satu pesta di Ilashkan-Yurt.
  • Jun 2003 - seorang wanita memakai kot putih dan tali pinggang diikat bahan letupan membunuh 17 anggota tentera dan 15 lagi cedera parah.
  • Julai 2003 - dua pengebom bunuh diri wanita membunuh 16 orang di sebuah konsert rock di Moscow.

No comments: