Pages

Monday, April 19, 2010

Misteri: Sumpahan maut


Oleh Hazirah Che Sab
zeehan@bharian.com.my
2010/04/11


pix_gal0
Didakwa ada kaitan kematian artis, pemuzik dan pemimpin Amerika 

TIADA siapa sebenarnya pasti sama ada sumpahan yang dikenakan atas alasan apa sekalipun benar-benar berlaku atau ia sekadar satu kebetulan yang kemudian ditokok tambah untuk menjadikan kisah itu lebih menarik.
Namun begitu, perlu diakui sedikit sebanyak perkara yang berlaku kononnya akibat sumpahan, paling tidak menjauhkan orang ramai untuk mencubanya kerana bimbang akan ‘dimakan’ sumpah. Dalam sejarah dunia misalnya, ada tujuh sumpahan yang dikategorikan paling popular kerana sama ada ia benar-benar membawa kecelakaan kepada mereka yang terbabit atau ia hanya mempunyai kaitan dengan tokoh terkenal. 

Sumpahan membabitkan pelakon kacak Amerika Syarikat, James Dean, yang meninggal dunia pada usia masih muda dan ketika berada di kemuncak kerjaya dikatakan turut memakan beberapa mangsa lain. 

Dean meninggal dunia pada 30 September 1955 apabila kereta Porsche 550 Spyder berwarna perak miliknya yang dinamakan 'Little Bastard' dirempuh sebuah kenderaan lain yang datang dari arah depan. Mungkin juga disebabkan nama kereta itu amat tidak sopan, dalam masa setahun selepas kematian Dean, ia terbabit dalam dua lagi kemalangan maut dan menyebabkan kecederaan kepada sekurang-kurangnya enam orang lain. 

Selepas kemalangan itu, kereta berkenaan dibeli oleh George Barris. Ketika sedang diperbaiki, Little Bastard, terjatuh ke atas kaki mekanik dan menghancurkannya. Barris kemudian menjual enjin dan memindahkannya kepada dua doktor yang berminat dalam lumba kereta. Ketika bersaing sesama sendiri, seorang terbunuh dan seorang lagi cedera parah. 
Tayarnya pula dibeli orang lain, yang kemudiannya tiba-tiba meletup dan menyebabkan dia pula dikejarkan ke hospital.

Kemalangan juga berlaku apabila Little Bastard muncul dalam satu pameran kereta. Kebakaran yang tidak diketahui puncanya memusnahkan bangunan pada malam sebelum pameran diadakan. Tragedi itu memusnahkan semua kereta kecuali Little Bastard. 

Ia kemudian diangkut ke dalam trak untuk dikembalikan ke Salinas, California. Dalam perjalanan, pemandunya hilang kawalan menyebabkannya tercampak keluar dan dihimpit kereta itu yang terjatuh dari treler. Pada 1960, selepas dipamerkan oleh Peronda Lebuh Raya California, Little Bastard, ghaib dan tidak pernah lagi dilihat sejak itu. 

Bagi peminat muzik, nama Robert Johnson, pemuzik kulit hitam yang digelar penyanyi Eric Clapton 'pemuzik blues paling penting pernah hidup' pasti sudah tidak asing lagi. Namun sumpahan yang mengikatnya sehingga bertemu ajal pada usia 27 tahun, agak menarik disoroti. 

Laporan media mendakwa Johnson amat pandai bermain gitar sehingga ada khabar angin mengatakan dia membuat perjanjian dengan syaitan untuk memperoleh bakat mengagumkan itu. Apabila meninggal dunia pada usia 27 tahun, khabar angin bertiup mengatakan syaitan mula menuntut janji. 

Selain Johnson, beberapa pakar muzik meninggal dunia pada usia 27 tahun termasuk pengasas kumpulan Rolling Stones, Brian Jones pada 1969. Ia diikuti Jimi Hendrix dan Janis Joplin pada 1970 dan Jim Morrison pada tahun berikutnya. Penyanyi kumpulan Nirvana, Kurt Cobain, turut membunuh diri pada 1994 pada usia 27 tahun. Adakah ia satu kebetulan apabila semua pemuzik hebat itu meninggal dunia pada usia sama 27 tahun? 

Satu lagi kisah sumpahan yang tidak kurang menarik ialah membabitkan ahli silap mata terkenal, Rasputin dan keluarga diraja Russia, Romanov. Selepas Rasputin semakin terkenal, beberapa anggota keluarga Romanov mula tidak berpuas hati dan memutuskan untuk membunuhnya. 

Namun bukan mudah mencabut nyawa Rasputin. Dia akhirnya mati selepas dilaporkan diberi racun, jatuh tangga diikuti beberapa das tembakan. Rasputin dikatakan sempat melafazkan sumpahan, menjamin kematian semua anggota keluarga diraja Russia dalam masa setahun. Ia benar-benar jadi kenyataan kerana keluarga Romanov dibunuh kejam dalam pembunuhan beramai-ramai tidak sampai setahun selepas kematian Rasputin. 

Sumpahan seorang ketua penduduk asli Amerika Syarikat yang kisahnya lebih dikenali sebagai Sumpahan Tecumseh juga tidak kurang menarik kerana ia membabitkan nasib presiden negara itu. Sumpahan itu dikatakan memberi penjelasan sejak 1840 hingga 1960, presiden yang dipilih atau dipilih semula pada tahun ke-20, meninggal dunia ketika masih berkhidmat. 

Tecumseh dipercayai mengeluarkan sumpah itu apabila pasukan tentera dipimpin Presiden William Henry Harrison mengalahkan pasukannya dalam Pertempuran Tippecanoe. 

Mangsa pertama ialah Harrison sendiri yang dipilih sebagai Presiden pada 1840. Dia menghidap selesema ketika mengangkat sumpah dan segera merebak menjadi penyakit radang paru-paru. Harrison meninggal dunia pada 4 April 1841, cuma sebulan sebagai pemimpin Amerika. 

Mendiang Abraham Lincoln dipilih sebagai Presiden pada 1860 dan terpilih sekali lagi empat tahun kemudian. Lincoln dibunuh pada 15 April 1865. John F Kennedy juga dikatakan mangsa kepada sumpahan itu apabila dilantik sebagai Presiden pada 1960 dan dibunuh tiga tahun kemudian.

No comments: