2010/03/14
Carlos Slim Helu
BUAT pertama kalinya, takhta orang terkaya di dunia jatuh ke tangan hartawan negara membangun iaitu Raja Telekomunikasi Mexico, Carlos Slim Helu.
Dengan kekayaan bernilai AS$53.5 bilion (RM177 bilion), hartawan berusia 70 tahun itu menyingkirkan dominasi hartawan Amerika Syarikat, Bill Gates yang mendahului senarai Orang Terkaya Dunia sejak 1995. Dalam senarai terbaru orang terkaya di dunia yang diumumkan majalah kewangan antarabangsa Forbes, Khamis lalu, Gates berada di tempat kedua dengan nilai hartanya, AS$53 bilion (RM176 bilion) iaitu cuma kurang AS$500 juta daripada kekayaan dimiliki Slim. Tempat ketiga, seorang lagi usahawan Amerika, Warren Buffet, 79, dengan aset AS$47 bilion (RM156 bilion).
Senarai Forbes itu merangkumi 1,011 hartawan bertaraf billionaire daripada 55 negara - meningkat daripada 793 orang pada tahun lalu. Seramai 97 hartawan dan 67 daripadanya berasal dari Asia yang dikaitkan dengan peningkatan pasaran sahamnya tahun lalu. ‘Billionaire’ paling ramai di Asia paling ramai berasal dari China iaitu 68 orang, India (49), Hong Kong (25), Jepun (22), Taiwan (18), Malaysia (9), Indonesia (7) dan empat dari Singapura.
Hartawan Malaysia yang turut dikenali ‘Raja Gula,’ Tan Sri Robert Kuok, berada di kedudukan ke-33 dalam senarai global dan ketujuh di Asia dengan nilai asetnya, AS$14.5 bilion (RM48 bilion).
Apa yang menarik, kejayaan Slim yang sebelum ini berada di kedudukan ketiga, bukan sekadar kejayaan peribadi, tetapi menjadikannya jutawan pertama negara Latin memegang gelaran amat berprestij berkenaan.
Apatah lagi latar belakang dirinya sebagai anak pendatang Lubnan yang berhijrah ke Mexico pada 1902 sebelum mengorak kejayaan sebagai pemilik syarikat telekomunikasi Telefonos de Mexico (Telmex) dan 200 syarikat lain dengan 210,000 pekerja di Mexico.
Kini, biarpun melepaskan tanggungjawab pengurusan kepada anak-anaknya, Slim yang juga duda enam anak itu tetap aktif menguruskan aspek strategi perniagaan syarikat, kerja kebajikan dan menambah peluang pelaburan baru di Amerika.
Catatan biografinya menyatakan, bapa Slim, Don Juan adalah peniaga berjaya yang menurunkan ilmu perniagaan kepada anak-anaknya, termasuk Slim, pada usia seawal 12 tahun yang diberikan buku cek.
Slim dan adik beradiknya yang lain turut diajar mencatat butiran terperinci wang masuk dan keluar setiap bulan dalam usaha mendidik mereka menguruskan perbelanjaan yang menjadi antara ilmu yang menjadikannya bijak mengurus perniagaan sehingga bergelar hartawan.
Tidak ramai yang tahu, di sebalik gelaran Raja Telekomunikasi Mexico, tokoh korporat dan usahawan berjaya, Slim pada asalnya seorang jurutera awam. Beliau kemudian mula membina nama dengan kehebatannya menukar firma bermasalah kepada syarikat berjaya.
Pada masa sama, Slim bijak mencari peluang mengembangkan perniagaan dan pelaburannya termasuk syarikat akhbar New York Times, biarpun dikecam pesaingnya yang mengecam tindakannya memonopoli pasaran telekomunikasi berkenaan.
Sejak dua tahun lalu, pelaburan Slim dihalakan ke Amerika Latin dengan syarikatnya bertapak di 18 negara menerusi firma America Movil selain melabur dalam projek pembinaan prasarana.
Berbeza sikapnya sebagai ahli perniagaan licik, kehidupan peribadi Slim sebaliknya lebih sederhana dan tidak suka membazir. Beliau menduda selepas isteri kesayangannya, Soumaya Domit, juga berdarah kacukan Lubnan-Mexico, meninggal dunia pada 1999. Rasa kasihnya yang mendalam terhadap isteri yang dikahwininya selama 30 tahun itu, dikatakan antara punca Slim terus menduda sehingga sekarang.
Malah, kesunyiannya itu diisi dengan mewujudkan beberapa yayasan kebajikan bagi membantu golongan memerlukan selain mempromosi budaya serta sukan.
Isu kemiskinan terlalu dekat di hatinya sehinggakan pernah meradang apabila diaju soalan mengenai perasaannya menjadi orang terkaya di negara yang mana 50 juta penduduknya miskin.
Dengan selamba, Slim menjawab: “Saya tidak akan membawa satu sen pun apabila meninggal dunia. Biarpun menjadi kaya raya, saya tidak pernah melupakan tanggungjawab membantu negara saya.”
Profil
Carlos Slim Helu
Senarai Terkaya Dunia
1) Carlos Slim Helu & keluarga (RM177 bilion)
2) Bill Gates (Rm176 bilion)
3) Warren Buffet (RM156 bilion)
4) Mukesh Ambani (RM96 bilion)
5) Lakshmi Mittal (RM95 bilion)
No comments:
Post a Comment