SANAA 1 Ogos - Sekurang-kurangnya 15 orang terbunuh dan 43 lagi cedera, selepas sekumpulan polis yang setia kepada bekas Presiden Yemen, Ali Abdullah Saleh menyerang bangunan Kementerian Dalam Negeri di sini, semalam.
Seorang pegawai keselamatan yang enggan dikenali berkata, pada mulanya kumpulan terbabit mengadakan demonstrasi di luar bangunan kementerian itu sebelum menyertai puak bersenjata pro-Saleh menyerang bangunan terbabit.
Kumpulan penunjuk perasaan turut menuduh kerajaan yang menggantikan pemerintahan Saleh sebagai kerajaan rasuah.
Pegawai bilik operasi keselamatan berkata, pihak hospital tentera dan polis mengesahkan 15 kematian tersebut.
Katanya, sepupu Saleh, Yahia Mohammed Abdullah Saleh yang mengawal pasukan Polis Tengah, menghantar anggota polis tambahan untuk menyertai bantahan yang kemudiannya bertukar menjadi ganas.
Polis yang setia kepada Saleh dilapor menguasai bangunan kementerian itu selama beberapa jam dan mengawal jalan-jalan berhampiran.
Saksi berkata, ibu pejabat kementerian telah dipecah masuk dengan orang ramai membawa keluar set komputer serta perabot dari bangunan itu. - AGENSI
No comments:
Post a Comment