KUALA LUMPUR: Angkatan Tentera Malaysia (ATM) akan memberi bantuan kepada keluarga Koperal Hafeeze Mohd Hanafi yang maut bersama isterinya yang hamil tujuh bulan akibat dirempuh bas sekolah dalam kemalangan tragis di Keramat, semalam.
Pengarah Media Menteri Pertahanan, Kol Fadzlette Othman Merican Idris berkata, selain menghulurkan bantuan asas seperti mengurus jenazah, ATM akan mengadakan perbincangan lanjut dengan keluarga mangsa bagi mengetahui bentuk bantuan yang diperlukan mereka.
“Kami akan berbincang dengan keluarga mangsa untuk tentukan bantuan yang mereka perlukan. Buat masa ini, kami sudah berikan bantuan ilat seperti menguruskan jenazah dan menyediakan kenderaan bagi membawa pulang jenazah untuk dikebumikan,” katanya ketika dihubungi, semalam. - Bernama
Kemalangan yang melibatkan tujuh kenderaan dan mengorbankan sepasang suami isteri yang tersepit (lihat anak panah) akibat dirempuh bas sekolah di persimpangan lampu isyarat di AU3 menghala ke Jalan Setiawangsa, Kuala Lumpur, semalam. |
KUALA LUMPUR 1 Ogos - Ketika umat Islam lain menghitung hari untuk menyambut Hari Raya Aidilfitri, seorang kanak-kanak berusia dua tahun menjadi yatim piatu apabila ibu bapanya maut dalam nahas ngeri yang berlaku di ibu negara pagi ini.
Kemalangan yang berlaku di Jalan 15/56, menghala ke Taman Setiawangsa itu mengakibatkan sepasang suami isteri, Koperal Hafeeze Mohd. Hanafi, 30, dan Siti Noor Edayu Roslan, 26, meninggal dunia di tempat kejadian.
Kedua-dua mereka yang menaiki motosikal jenis Yamaha Lagenda dilanggar sebuah bas sekolah yang sarat dengan 50 murid setelah kenderaan itu dipercayai mengalami masalah brek ketika menuruni laluan berbukit.
Dalam kejadian pukul 7 pagi itu, pasangan suami isteri terbabit dilanggar sehingga tersepit di belakang sebuah lagi bas sekolah yang ketika itu berhenti untuk keluar dari persimpangan lampu isyarat ke Taman Setiawangsa.
Apa yang menyedihkan, Noor Edayu yang merupakan pembantu tadbir di Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) sedang hamil tujuh bulan dan ketika kejadian, pasangan itu dipercayai baru menghantar anak lelaki tunggal mereka, Mohammad Harif, 2.
Hafeeze yang bertugas di Kementerian Pertahanan Jalan Semarak dikatakan tersepit sehingga mengalami kecederaan parah di kepala dan badan.
Sementara itu, menurut seorang saksi, Aizat Azwan Azman, 25, sebanyak tujuh kenderaan termasuk dua motosikal terlibat dalam kemalangan itu, gara-gara sebuah bas sekolah yang mempunyai masalah brek ketika menuruni laluan berbukit.
Menurutnya, ketika kejadian dia memandu Perodua Kancil berada di laluan bertentangan bersama sebuah lagi motosikal, manakala enam lagi kenderaan termasuk motosikal yang dinaiki Hafeeze dan Noor Edayu berhenti di persimpangan lampu isyarat itu.
Pasangan malang itu difahamkan berhenti di belakang sebuah bas sekolah dan tiba-tiba, sebuah lagi bas sekolah yang sarat dengan pelajar merempuh mereka setelah melanggar Kancil dipandunya dan motosikal di laluan bertentangan.
"Saya lihat bas itu turun dengan laju seperti hilang kawalan dan ia melanggar kereta saya dan sebuah lagi motosikal sebelum masuk ke kawasan lampu isyarat seterusnya menghentam belakang bas yang sedang berhenti.
"Di belakang bas yang berhenti itu, pasangan yang menaiki motosikal terbabit tersepit di antara kedua-dua bas. Kedua-dua mereka mengalami kecederaan parah di kepala," katanya ketika ditemui Utusan Malaysia di tempat kejadian.
Menurut Aizat Azwan, Noor Edayu masih bernyawa sejurus selepas kemalangan itu malah dia dikatakan sempat menjerit dengan kuat apabila melihat suaminya tersepit dan tidak bergerak di bawah tayar hadapan bas. Noor Edayu bagaimanapun meninggal dunia ketika dibawa ke Hospital Kuala Lumpur.
Seorang wanita yang membonceng sebuah motosikal juga difahamkan cedera parah akibat patah paha dan kini masih dirawat di hospital yang sama.
Kejadian malang itu mungkin bertambah buruk jika melibatkan lebih 80 pelajar sekolah yang berada dalam kedua-dua bas berkenaan. Kesemua pelajar selamat dan hanya mengalami kecederaan ringan akibat terhantuk.
Dalam pada itu, bapa Noor Edayu, Sarjan Roslan Jalil, 53, seorang pegawai penyiasat trafik di sini berkata, kali terakhir dia bertemu anak kedua dari lapan beradik itu adalah ketika berbuka puasa kelmarin.
"Tidak sangka itu adalah juadah terakhir kami makan bersama-sama namun saya anggap ini semua ketentuan daripada Allah dan selepas ini kami sekeluarga akan menjaga Mohammad Harif," katanya yang memberitahu anaknya sempat memberi sedikit duit raya untuk dibuat kenduri pada hari raya nanti.
Dalam pada itu, rakan setugas Hafeeze, Normalizzah Seet Abdullah pula teringat tentang gurauan arwah yang berkata dia tidak sempat berhari raya pada tahun ini.
"Arwah merupakan seorang yang peramah dan disenangi semua rakan," katanya yang masih terkejut dengan kejadian itu.
Sementara itu, jenazah Hafeeze akan dikebumikan di kampung halamannya di Tumpat, Kelantan manakala Noor Edayu pula dikebumikan di Kampung Paya Rumput, Melaka.
No comments:
Post a Comment