Pages

Tuesday, August 21, 2012

Rusia dakwa Barat bekalkan senjata



BASHAR (kanan) berdoa semasa menghadiri solat Hari Raya Aidilfitri 
di Masjid Hamad, Damsyik kelmarin.


MOSCOW - Timbalan Menteri Luar Rusia, Gennady Gatilov semalam mendakwa terdapat semakin banyak bukti yang menunjukkan para pemberontak Syria memperoleh senjata buatan Barat.
"Terdapat semakin banyak bukti termasuk di media bahawa pihak pembangkang di Syria dibekalkan dengan senjata-senjata buatan Barat melalui negara ketiga," katanya menerusi laman Twitter.
Sebelum ini, AS dan Britain menyatakan para pemberontak yang menentang tentera Presiden Syria, Bashar Al-Assad memperoleh bantuan yang tidak mengandungi senjata kepada para pemberontak seperti peralatan komunikasi.
Arab Saudi dan Qatar yang merupakan dua buah negara anti-Bashar dipercayai membiayai penghantaran senjata kepada para pemberontak.
Sementara itu, pertempuran di bandar Darra telah menyebabkan 44 orang mati semalam termasuk dua kanak-kanak.
Pertubuhan Pemantau Syria Untuk Hak Asasi mengesahkan pertempuran pada hari raya kedua berlaku di negara tersebut.
Sebelum ini Bashar dilihat bersolat sunat hari raya di Masjid Hamad, Damsyik kelmarin.
Pertempuran turut berlaku di beberapa lokasi di Damsyik.
Pertubuhan itu menyatakan askar-askar yang dibantu helikopter tentera Syria turut membedil beberapa kawasan di bandar Aleppo, utara Syria.
Lebih 20,000 orang dilaporkan terbunuh sejak pertempuran antara para pemberontak dengan tentera Bashar bermula pada Mac tahun lalu.
Pertempuran tersebut berlaku selepas para pemberontak menuntut pembaharuan politik dan pelaksanaan hak asasi manusia di negara itu.
Dalam perkembangan berkaitan, Menteri Luar Turki, Ahmet Davutoglu menyatakan, pihaknya tidak dapat menyediakan bantuan kepada pelarian Syria jika bilangan mereka mencecah lebih 100,000 orang.
Beliau mendesak Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu untuk mendirikan kem-kem pelarian di sempadan Turki dengan Syria ekoran peningkatan bilangan mereka.
Menurut perangkaan Turki, kira-kira 70,000 orang pelarian Syria berada di negara itu. - Agensi

No comments: