Pages

Tuesday, August 21, 2012

Raya berdarah di Syria



   
Beirut: Hari Raya pertama disambut dengan pertumpahan darah baru di Syria kelmarin dengan sekurang-kurangnya 84 orang maut di seluruh negara itu, kebanyakannya askar manakala ibu negara Damsyik digegarkan dengan pertempuran.

Keganasan baru itu meletus ketika duta baru Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) ke Syria, Lakhdar Brahimi berkata perkara utama sekarang ialah menamatkan perang saudara dan bukan sekadar menghalangnya daripada berlaku.

Pertubuhan Pemantau Syria bagi Hak Asasi Manusia melaporkan semalam, 16 mayat ditemui di perkampungan Al-Tall, sebuah kubu kuat pemberontak di wilayah Damsyik dan 34 lagi adalah askar, 28 orang awam dan 22 pemberontak menjadi korban di tempat lain.
Pertubuhan berpejabat di Britain itu mengumpul maklumat menerusi laporan aktivis di Syria yang memantau pertempuran antara pemberontak dan askar kerajaan di selatan Damsyik.

Guna senjata berat

Aktivis penentang pentadbiran Presiden Bashar al-Assad dari Suruhanjaya Umum Revolusi Syria berkata, tentera kerajaan menggunakan kereta kebal dan senjata berat termasuk mesingan untuk menyerang kawasan pinggir Damsyik, Maadamiet Al-Sham, semalaman.

Selain itu, penduduk Aleppo menyambut Aidilfitri dalam susana suram selepas bandar dekat sempadan Turki itu yang dilanda perang sejak tiga bulan lalu diberi amaran pemerintah bahawa ia akan menjadi lokasi ibu segala perang.
Ramai penduduk di Aleppo selain di tempat lain terpaksa berlapar kerana kekurangan makanan sebahagiannya berpunca daripada penutupan kedai menyebabkan protes meletus meskipun lebaran sudah tiba.

Bashar pula muncul di khalayak ramai dengan pegawai kanannya untuk mengerjakan solat Aidilfitri di sebuah masjid Damsyik kelmarin manakala penunjuk perasaan melancarkan protes di ibu negara dan bandar lain menyuarakan kemarahan terhadap pentadbirannya.

PBB tamat misi

Pemantau PBB juga menamatkan misi kelmarin selepas keganasan meningkat dan kuasa dunia gagal mencapai kata sepakat mengenai cara menangani Bashar dan memulihkan keamanan di negara penting Asia Barat itu.

Misi mereka ditamatkan beberapa hari selepas Brahimi menggantikan Kofi Annan.
Ada ramai yang berkata kita mesti elakkan perang saudara di Syria, tetapi saya percaya keadaan itu sudah berlarutan buat beberapa lama. Apa yang perlu dilakukan ialah hentikan perang saudara dan itu bukan mudah, katanya ketika diwawancara televisyen France 24.
AFP

No comments: