Pages

Friday, June 22, 2012

Umar Patek kena penjara 20 tahun

UMAR memasuki Mahkamah Daerah Jakarta Barat, semalam.

UMAR memasuki Mahkamah Daerah Jakarta Barat, semalam.
JAKARTA: Mahkamah Daerah Jakarta Barat, semalam menjatuhkan hukuman penjara 20 tahun ke atas pembuat bom, Umar Patek, 45, berikutan peranannya dalam serangan bom di Bali pada 2002. 

Patek didapati bersalah bersabit enam dakwaan, sebahagiannya dikaitkan dengan dua serangan bunuh diri serentak di sebuah kelab malam di Bali yang menyebabkan 202 orang terbunuh, termasuk 88 rakyat Australia. Hukuman itu mengakhiri siasatan 10 tahun ke atas serangan paling ganas di Indonesia.
Keputusan dibuat jawatankuasa lima orang hakim selepas perbicaraan selama 11 jam dihadiri lebih 100 wartawan, kebanyakannya dari Australia yang bersesak hingga ke luar kamar mahkamah.
“Kami menjatuhkan hukuman 20 tahun penjara ke atas Umar Patek,” kata Ketua Hakim, Encep Yuliardi. Patek didapati bersalah menjadi perancang awal serangan bom Bali dan beberapa dakwaan lain yang dikaitkan dengan pengeboman ke atas beberapa buah gereja di Jakarta pada malam Krismas 2000 menyebabkan 19 orang terkorban. 

Sejurus mendengar keputusan, Patek berdiri lalu berjabat tangan dengan hakim dan pendakwa sebelum memeluk peguamnya. Beliau kemudian dibawa meninggalkan mahkamah. 

Peguam Patek, Asludin Hatjani memberitahu media, beliau akan mengadakan perbincangan dengan Patek serta keluarganya esok sebelum memutuskan sama ada anak guamnya mahu kemukakan rayuan. 

“Patek amat kecewa dengan hukuman yang dijatuhkan dan menganggap ia terlalu berat. Beliau bersikap jujur dan mengakui apa yang dilakukannya. Malangnya mahkamah tidak mengambil kira perkara itu,” katanya. – AFP

No comments: