WEST menggunakan tangan untuk mendaki Kilimanjaro.
Lelaki yang memiliki semangat tinggi berusia 31 tahun itu menggunakan tangannya untuk mendaki Gunung Kilimanjaro setinggi 19,341 kaki dalam tempoh tujuh hari. West seorang yang berani dan telah menjalani dua pembedahan memotong kaki ketika berusia lima tahun selepas dilahirkan dengan kecacatan genetik - berlatih selama setahun sebelum memulakan misinya pada 12 Jun lalu bersama dua rakannya.
West dari Toronto, Kanada berkata: “Saat puncak gunung dapat dilihat adalah detik yang hebat. Gunung itu kelihatan menakjubkan. “Kami melihat di sekeliling dan menyedari selepas pendakian yang meletihkan selama tujuh hari, dengan darah, muntah, keringat dan air mata yang mengalir, selepas 20,000 kaki, kami berjaya melakukannya.
“Jari yang berdarah dan melepuh, semuanya berbaloi,” katanya. Hanya kira-kira 50 peratus yang cuba mendaki hingga ke puncak Kilimanjaro berjaya melakukannya.
West menggunakan kerusi roda untuk 20 peratus pendakian yang sukar, manakala selebihnya menggunakan tangannya. Ketika West kanak-kanak, doktor memberitahunya dia tidak mungkin dapat menjadi anggota mana-mana persatuan kerana kecacatan dialaminya.
Namun, dia terus melakukan perkara yang menentang pendapat pakar. Dia berkata: “Saya berazam untuk mendaki Gunung Kilimanjaro bukan saja untuk mentafsirkan semula apa yang boleh saya lakukan, tetapi untuk memberi inspirasi kepada orang lain mengatasi halangan dan cabaran dihadapi mereka dan memberi kepada masyarakat yang memerlukan bantuan kita. “Mendaki ke puncak Gunung Kilimanjaro adalah cabaran paling hebat secara fizikal dan mental saya pernah hadapi, tetapi melakukannya, ia memberi mesej cukup bermakna untuk kita percayakan diri sendiri dan percayakan orang lain.
“Ramai orang membantu saya melakukan pendakian ini dan saya sangat menghargai setiap sokongan yang mereka berikan,” katanya.
Pencapaiannya yang mengagumkan itu berjaya meraih dana lebih 300,000 pound (RM1.5 juta) untuk Free The Children, badan kebajikan yang menyalurkan bantuan kepada ribuan rakyat Kenya yang bedepan dengan bencana kemarau. - TS
No comments:
Post a Comment