HANOI 4 Jun - Kerajaan Vietnam bersetuju membuka tiga lagi tapak yang dipercayai kawasan perkuburan di negara ini yang sebelum ini dikawal ketat, bagi membantu usaha mencari mayat-mayat tentera Amerika Syarikat (AS), yang disenaraikan hilang ketika Perang Vietnam.
Persetujuan itu dibuat ketika Setiausaha Pertahanan AS, Leon Panetta mengadakan rundingan dengan rakan sejawatnya, Phung Quang Thanh, menurut jurucakap Pentagon, George Little, hari ini.
Bagaimanapun butiran mengenai tapak-tapak itu tidak didedahkan.
"Jabatan Pertahanan AS percaya tapak-tapak itu penting untuk mengesan mayat tentera-tentera AS yang hilang ketika Perang Vietnam dan pasukan penyelidik juga akan turut memperolehi banyak kelebihan daripadanya," kata Little.
Dalam pertemuan itu, Panetta dan Thanh turut bertukar-tukar artifak yang diambil oleh tentera masing-masing ketika perang yang berakhir pada 1975 itu.
Barangan itu termasuklah diari tentera Vietnam yang dibunuh pada 1966 dan surat peribadi askar AS yang maut pada 1969.
Menurut Kedutaan AS di Hanoi, kedua-dua negara memulakan kerjasama untuk mencari tenteranya yang hilang ketika perang sejak September 1988 dan telah melakukan siasatan ke atas lebih 3,500 kes dan membuat penggalian di lebih 500 tapak.
Sejumlah 968 tentera AS yang hilang telah dikenal pasti sejak 1973 dan masih terdapat 1,678 orang lagi yang belum ditemui. - REUTERS
No comments:
Post a Comment