MIRANSHAH: Lima belas pejuang terbunuh dalam serangan peluru berpandu Amerika Syarikat yang mensasarkan kubu kuat Taliban dan al-Qaeda di Waziristan Utara, Pakistan, semalam.
Ia adalah serangan dron ketiga Amerika Syarikat dalam masa tiga hari di wilayah berkenaan.
Serangan itu dijangka meningkatkan ketegangan antara Washington dengan Islamabad menjelang kunjungan Penolong Setiausaha Pertahanan Amerika, Peter Lavoy dalam misi memujuk Pakistan mengakhiri sekatan enam bulan terhadap laluan penghantaran bekalan Nato ke Afghanistan.
Serangan dron Amerika Syarikat meningkat secara dramatik di Pakistan sejak sidang kemuncak Nato di Chicago berakhir dua minggu lalu tanpa sebarang persetujuan dicapai mengenai laluan bekalan Nato itu.
Lapan serangan dron dilaporkan di Pakistan sejak 23 Mei, jumlah yang sama sepanjang empat bulan lalu dan serangan semalam adalah paling sengit sejak 18 pejuang Taliban dilapor terbunuh pada 16 November 2011.
Pegawai Pakistan berkata, dua peluru berpandu mensasarkan Kampung Hesokhel, timur Miranshah, ibu negeri Waziristan Utara, sebelum Subuh.
Wilayah berkenaan ialah kubu utama pejuang Islam di Pakistan. Islamabad sebelum ini menolak tekanan Washington supaya melancarkan serangan besar-besaran terhadap pejuang yang aktif memerangi tentera Amerika Syarikat di Afghanistan sejak 10 tahun lalu.
“Lima belas pejuang terbunuh dalam serangan awal pagi. Mayat mereka tidak boleh dicam,” kata seorang pegawai keselamatan di Miranshah.
Menurutnya, ada laporan yang belum dapat disahkan bahawa antara yang terbunuh ialah warga asing.
Penduduk tempatan, Gul Jaan Wazir memberitahu wartawan, mereka yang terbunuh dikebumi serta-merta sebaik dikeluarkan dari runtuhan bangunan.
Serangan dron itu memusnahkan bilik di rumah yang dibuat daripada tanah liat dan kayu, tempat semua pejuang itu tidur. - AFP
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment