PETALING JAYA - Mahkamah Rendah Syariah hari ini membenarkan permohonan pemain bola sepak kebangsaan, Mohamad Aidil Zafuan Abd Razak menarik balik hasrat untuk bercerai dengan isterinya, Rita Rudaini Mohamad@Mokhtar.
Hakim Syarie Wan Mahyuddin Wan Muhammad membuat keputusan itu selepas mendengar permohonan Mohamad Aidil Zafuan berhubung penarikan permohonan cerai yang difailkannya pada 12 April lalu.
Beliau juga mengarahkan Mohamad Aidil Zafuan membayar kos kepada Rita, 36, sebanyak RM250.
"Kamu (Mohamad Aidil Zafuan) perlu membayar kerugian kepada Rita kerana menarik balik kes ini pada saat akhir iaitu sehari sebelum sebutan kes ditetapkan (15 Mei)," katanya.
Mohamad Aidil Zafuan, 25, yang diwakili peguam Ahmad Nazib Johari mengemukakan tiga alasan berhubung penarikan balik permohonan bercerai mengikut Seksyen 47 Enakmen Undang-Undang Keluarga Islam (Negeri Selangor) 2003.
Menurut Ahmad Nazib, permohonan anak guamnya tidak diteruskan kerana Rita tidak bersetuju pada untuk bercerai pada prosiding 30 April lalu.
"Justeru, anak guam saya berhasrat untuk berbaik semula dan mengarahkan isterinya kembali taat dan tinggal di rumah yang disediakannya.
"Anak guam saya juga risau jika diwujudkan jawatankuasa pendamai akan ada campur tangan daripada pihak ketiga. Ini akan mengeruhkan lagi keadaan," katanya.
Ahmad Nazib berkata, pihaknya membantah permohonan kos yang diminta Rita kerana ia bukan dari kesilapan anak guamnya sebaliknya Rita tidak bersetuju untuk bercerai.
Bagaimanapun, Rita yang diwakili peguam syarie, Datuk Mohd Zaidi Md Zain memberitahu mahkamah pihaknya hanya dimaklumkan mengenai penarikan balik itu beberapa jam sebelum prosiding bermula.
Mohd Zaidi berkata tuntutan itu dibuat kerana ia membabitkan masa dan perjalanan beliau, anak guamnya serta kos penerbangan bapa tiri Rita, Johari Jonid, 62.
"Saya dan Rita agak terkesima apabila Mohamad Aidil Zafuan ingin menarik permohonannya itu. Sepatutnya prosiding hari ini (semalam) adalah untuk melantik wakil ahli keluarga masing-masing bagi membentuk Jawatankuasa Pendamai.
"Kami sudah bersedia dan melantik bapa tiri Rita yang datang dari Kangar, Perlis sebagai menurut arahan mahkamah. Oleh itu, kos perjalanan itu harus dibayar pihak Mohamad Aidil Zafuan," katanya.
Rita yang memakai jubah hitam dan bertudung merah jambu kelihatan tidak bertegur sapa dengan Mohamad Aidil Zafuan, sebaliknya masing-masing pulang bersama ahli keluarga yang hadir di mahkamah.
Mohamad Aidil Zafuan ketika ditemui berharap agar hubungannya dan Rita kembali pulih demi dua anak mereka.
Sementara itu, Ahmad Nazib berkata, permohonan kembali taat terhadap Rita telah difailkan semalam dan notis itu sudah diserahkan kepada peguam yang mewakili Rita.
"Rita akan memfailkan jawapan pembelaan mereka pada tarikh sebutan ditetapkan iaitu pada 18 Jun ini," katanya.
Mengenai kos pembayaran RM250 yang diperintahkan mahkamah semalam, Ahmad Nazib bercadang mengemukakan rayuan ke Mahkamah Tinggi Syariah berhubung keputusan itu.
Pasangan itu berkahwin secara rahsia di Songkhla, Thailand pada 25 Februari 2008 dan dikurniakan cahaya mata Airit Rayyan Rizqin,4 dan Airit Rafqa Arjuna, 2.
Perkahwinan mereka pada awalnya mendapat tentangan keluarga Mohamad Aidil Zafuan.
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment