Pages

Thursday, May 17, 2012

Berita Harian Online | Kotak hitam Sukhoi dianalisis

Berita Harian Online | Kotak hitam Sukhoi dianalisis:
ASKAR Indonesia menunjukkan kotak hitam Sukhoi Superjet 100 yang ditemui selepas pesawat itu terhempas di Gunung Salak, minggu lalu. - Foto AP
ASKAR Indonesia menunjukkan kotak hitam Sukhoi
Superjet 100 yang ditemui selepas pesawat itu
terhempas di Gunung Salak, minggu lalu. - Foto AP

Alat dipercayai dapat dedah punca nahas pesawat di Gunung Salak

JAKARTA: Pasukan mencari dan menyelamat semalam menemui rakaman suara kokpit iaitu kotak hitam jet penumpang Russia yang terhempas di lereng sebuah gunung Indonesia, menyebabkan 45 orang maut.

Rakaman oleh juruterbang veteran pesawat itu yang sedang diteliti dijangka dapat membantu menjelaskan punca kemalangan pada 9 April lalu. Kotak hitam berkenaan ditemui bawah gaung setinggi 500 meter.
Ia pecah dan terbakar teruk, kata Tatan Kurniadi yang mengetuai Suruhanjaya Kebangsaan bagi Keselamatan.
Ia mengandungi dua perakam suara dan perakam data pesawat itu tetapi perakam kedua masih lagi hilang, katanya.

Sukhoi Superjet 100, model jet penumpang pertama Russia sejak kejatuhan Kesatuan Soviet dua dekad lalu dan sedang melakukan demonstrasi penerbangan kepada bakal pembeli apabila terhempas pada kelajuan 480 kilometer sejam dan meletup di lereng Gunung Salak, minggu lalu.

Serpihan jet enjin berkembar itu ditemui berhampiran gunung berapi berkenaan. Ia mengambil masa beberapa hari bagi pasukan menyelamat untuk menemui kotak hitam, kerana ia terbakar teruk dan sukar dikesan dalam semak tebal.

“Kotak terbabit sebenarnya dicat oren tetapi warnanya terbakar dalam kemalangan itu menyukarkannya untuk ditemui,” kata jurucakap bagi agensi mencari dan menyelamat, Gagah Prakoso. Ia ditemui awal kelmarin tetapi diserahkan kepada penyiasat lebih lewat. 
Pakar Indonesia, dibantu rakan mereka dari Russia menganalisis suara rakaman di makmal di Jakarta semalam, kata Mardjono Siswosuwarno yang mengetuai siasatan. Katanya, data dalam kotak itu dapat dibaca.

“Ia mengambil masa sekurang-kurangnya seminggu untuk memuat turun data,” kata Siswosuwarno, sambil menambah bahawa percakapan juga akan ditranskrip dan diterjemahkan. Bagaimanapun, datanya tidak akan didedahkan umum.

Pesawat Sukhoi Superjet 100 diharapkan dapat membantu menggerakkan semula industri aeroangkasa Russia. Pesawat terbabit melakukan demonstrasi kepada wakil penerbangan domenstik Indonesia yang antara mereka adalah bakal pembeli.

Indonesia adalah destinasi ke-4 pesawat itu yang melakukan lawatan ke Asia, bermula di Kazakhstan sebelum ke Pakistan apabila pembeli berpotensi dilaporkan hanya melihat demonstrasi di landasan kapal terbang kerana ada maslah teknikal meskipun ini tidak dapat disahkan.

Apabila tiba di Myanmar, satu bahagian dalam enjinnya pula bocor, kata Naib Presiden United Aircraft Corporation, Alexander Tulyakov, yang juga pemegang saham utama Sukhoi, sebelum mendapat kebenaran pengeluar enjin untuk pulang ke Moscow.

Jadi, satu jet lain menggantikannya bagi meneruskan kunjungan di Asia apabila terbabit dalam nahas, minggu lalu. –- AP
'via Blog this'

No comments: