Pages

Thursday, May 17, 2012

Jeneral Serb ejek warga Bosnia

Berita Harian Online | Jeneral Serb ejek warga Bosnia:
Tunjuk isyarat kelar leher ketika mula dibicarakan dakwaan jenayah perang

THE HAGUE: Jeneral Serb Bosnia, Ratko Mladic, mengejek sanak saudara mangsa perang gerila Serb dari Srebrenica pada hari permulaan beliau dibicarakan atas pembunuhan beramai-ramai terburuk di Eropah sejak Perang Dunia ke-2 tamat. 

Mladic yang sudah berusia 70 tahun menggunakan tangannya untuk menunjukkan isyarat mengelar leher kepada wanita Bosnia yang hadir di perbicaraannya, semalam.
Mladic juga menunjukkan isyarat menang serta bertepuk tangan ketika masuk ke bilik mahkamah di The Hague.
Beliau menghadapi kemungkinan dihukum penjara seumur hidup kerana mengetuai tindakan membunuh beramai-ramai 8,000 lelaki dan kanak-kanak Muslim tidak bersenjata di Srebrenica pada 1995. 

Memakai baju dan tali leher berwarna gelap sambil memegang cermin mata, Mladic memberi tumpuan dan menulis nota ketika pendakwa raya membuat hujah permulaan. 
Pendakwa raya, Dermot Groome, berkata Mladic dan pemimpin Serb Bosnia lain memecahkan wilayah bekas negara Yugoslavia mengikut etnik dan melaksanakan dasar membunuh penduduk bukan Serb. 

Pendakwaan akan mengemukakan bukti menunjukkan tanpa sebarang keraguan pembabitan Mladic dalam setiap jenayah ini,” katanya. 
Lebih 20 wanita yang juga ibu kepada mangsa bunuh di Srebrenica turut berkumpul di luar mahkamah dan ada yang membawa sepanduk berbunyi: “Mladic adalah pembunuh terhebat manusia dan kanak-kanak tidak berdosa.” 

Kada Hotic yang kehilangan anak lelakinya yang berusia 29 tahun, suami dan dua anak mereka yang lain, berkata dia bimbang Mladic tidak sempat dihukum seperti bekas Presiden Yugoslavia, Slobodan Milosevic yang meninggal dunia ketiga dibicarakan. 

Bekas jeneral itu juga suspek terakhir dibicarakan Tribunal Jenayah perang bagi bekas Yugoslavia di The Hague. 

Beliau dituduh merancang pembunuhan di Srebrenica selama tujuh hari meskipun ia diberi status ‘wilayah selamat’ oleh PBB. 

Mladic juga dituduh dalang kepungan terhadap Sarajevo selama 43 bulan apabila 10,000 orang mati kena tembakan curi dan bedilan artileri. 

Perang Bosnia berlangsung mulai 1992 hingga 1995 dan Mladic juga menghadapi dakwaan membunuh, melakukan keganasan dan jenayah kemanusiaan lain. Beliau ditahan Mei tahun lalu selepas lari daripada buruan pihak berkuasa selama 16 tahun. 

Mladic menolak semua dakwaan itu dan berkata dia tidak sihat untuk dibicarakan. 
Pihak mahkamah meletakkan pengakuan tidak bersalah bagi pihak Mladic. – Reuters 
'via Blog this'

No comments: