Pages

Thursday, May 17, 2012

Ahli perniagaan maut rempuh tiang lampu isyarat

Ahli perniagaan maut rempuh tiang lampu isyarat - Perak - Sinar Harian:
kemalangan maut
Anggota polis menguruskan mayat mangsa sebelum dibawa ke Jabatan Forensik
untuk bedah siasat.

IPOH - Kegembiraan seorang ahli perniagaan yang dipercayai baru pulang dari jamuan makan malam bersama rakan niaga bertukar tragedi apabila maut dalam satu kemalangan di Jalan Tambun berdekatan susur keluar Lebuh Raya Utara Selatan berhampiran sebuah stesen minyak di sini, awal pagi semalam.

Mangsa, La Choon San, 27, dari Garden Villa, Sunway City, dipercayai dalam perjalanan pulang ke rumah sebelum maut dalam kemalangan itu.

Ketua Bahagian Ketenteraman Awam dan Trafik Daerah Ipoh, Deputi Superitendan Wan Sharudddin Wan Omar berkata, dalam kejadian jam 4 pagi itu, mangsa sedang memandu kereta jenis Mercedez Benz hitam bersendirian.

Tambahnya, pada ketika itu, tiada kenderaan lain berada berhampiran dengan kereta mangsa.

“Siasatan awal, mangsa dipercayai memandu laju sehingga menyebabkan dia hilang kawalan lalu melanggar pembahagi jalan yang terletak berhampiran.

“Selepas itu, kereta yang dipandu mangsa turut melanggar tiang lampu isyarat yang berada berdekatan menyebabkan ia tercabut dan jatuh ke jalan raya,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.

Dalam perkembangan berkaitan, Wan Shahruddin berkata, kenderaan yang dipandu mangsa mengalami kerosakan teruk impak daripada rempuhan kuat itu.

Katanya, polis turut mendapatkan bantuan daripada Jabatan Bomba dan Penyelamat bagi mengeluarkan mangsa yang terperangkap dalam kenderaan tersebut.

“Mangsa meninggal dunia serta merta di tempat kejadian akibat kecederaan parah di kepala dan beberapa bahagian badan yang lain.

“Mayat mangsa dihantar ke Jabatan Forensik Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) untuk bedah siasat sebelum dituntut ahli keluarga.

“Kes ini disiasat di bawah Seksyen 41 Akta Pengangkutan Jalan 1987 dan siasatan masih diteruskan bagi mengenal pasti punca kemalangan tersebut,” katanya.

'via Blog this'

No comments: