Pages

Friday, April 13, 2012

Kes Suresh beri keterangan palsu disebut semula 17 Mei

SHAH ALAM 12 April - Kes pekerja ladang, U.Suresh yang didakwa memberi keterangan palsu dalam perbicaraan kes pembunuhan Datuk Sosilawati Lawiya dan tiga lagi akan disebut semula di Mahkamah Sesyen di sini pada 17 Mei ini.
Hakim Mohammed Mokhzani Mokhtar menetapkan tarikh itu selepas pihak pendakwaan memohon tarikh sebutan baru sementara menunggu keputusan kes pembunuhan jutawan kosmetik itu oleh Mahkamah Tinggi di sini pada 30 April ini.
Terdahulu, Timbalan Pendakwa Raya, Salwa Asmary Abdul Rahim memaklumkan bahawa pihaknya tidak dapat memulakan perbicaraan sehingga mahkamah yang mendengar kes pembunuhan Sosilawati membuat keputusan di akhir kes pendakwaan.
Sehubungan itu, beliau memohon tarikh sebutan baru selepas 30 April ini untuk sebutan sebelum tarikh perbicaraan ditetapkan.
Suresh, 27, didakwa memberi keterangan palsu di hadapan Hakim Datuk Akhtar Tahir dalam perbicaraan kes Pendakwa Raya lawan N. Pathmanabhan, T. Thilaiyalagan, R. Matan dan R. Kathavarayan di Mahkamah Tinggi 8 di sini antara pukul 9.30 pagi dan 12 tengah hari, 25 hingga 27 Julai 2011.
Keterangan tertuduh yang sedang menjalani hukuman penjara 20 tahun bagi kesalahan melupuskan mayat Sosilawati dan tiga lagi mangsa itu berbeza dengan kenyataannya kepada Asisten Supritendan (ASP) Ong Seng Keong di Penjara Sungai Udang, Melaka pada 26 Oktober 2010.
Suresh yang sebelum ini bekerja di Ladang Gadong, Banting, lokasi empat mangsa itu dikatakan dibunuh dituduh mengikut Seksyen 193 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum tujuh tahun dan denda jika sabit kesalahan.
Pada 27 Julai tahun lalu, Hakim Akhtar berpendapat 22 daripada 23 percanggahan dalam keterangan oleh Suresh, saksi pendakwaan ke-29 adalah material serta membenarkan permohonan pihak pendakwaan untuk mencabar kebolehpercayaan saksi tersebut.

No comments: