MANILA 12 April - Filipina hari ini mengundurkan kapal perang terbesarnya dari kawasan perairan yang menjadi pertikaiannya dengan China berhubung dakwaan pencerobohan nelayan China di pulau Scarborough Shoal di Laut China Selatan.
Namun tindakan Filipina itu masih belum dapat menyelesaikan krisis membabitkan penahanan nelayan-nelayan China itu, apabila Beijing pula bertindak menghantar kapal ketiganya ke kawasan perairan tersebut.
Setiausaha Hal Ehwal Luar Filipina, Albert del Rosario enggan mengulas mengenai tindak pengunduran kapal perang itu yang sebelum ini ditempatkan berhampiran pulau kecil itu sejak Ahad lalu dalam usaha untuk menahan nelayan China.
"Keputusan yang diambil itu tidak boleh dibincangkan dengan anda semua," katanya kepada wartawan.
Pengunduran itu bermakna Filipina kini hanya mempunyai bot mencari dan menyelamat pengawal pantai di kawasan perairan itu.
Insiden terbaru itu tercetus pada Ahad lalu apabila pihak berkuasa Filipina menemui lapan bot nelayan China di Scarborough Shoal, pulau kecil dan terumbu karang yang terletak kira-kira 124 batu nautika ke selatan pulau Luzon, Filipina.
Filipina menuduh kehadiran nelayan-nelayan China itu di kawasan tersebut menyalahi undang-undang Filipina kerana ia merupakan wilayahnya iaitu dalam lingkungan 200 batu nautika Zon Eksklusif Ekonomi seperti yang diiktiraf oleh undang-undang antarabangsa.
China pula bertegas mendakwa mempunyai hak kedaulatan ke atas semua perairan di Laut China Selatan, walaupun ia terletak berhampiran negara lain dan beratus-ratus kilometer dari negara itu.
Sementara itu, Del Rosatio berkata, kapal maritim ketiga China tiba di kawasan perairan itu untuk memberi sokongan kepada dua buah lagi kapal pemantau mereka yang telah berada di situ sejak kelmarin.
Kapal China telah menghalang rancangan pihak berkuasa Filipina untuk menahan nelayan-nelayan dari negara itu.
"Kapal ketiga tiba awal pagi ini dan saya difahamkan ia adalah kapal Biro Perikanan China," katanya.
Ketika ditanya sama ada kerajaan Filipina bimbang dengan bilangan kapal China itu, Del Rosatio berkata, mereka sedang memerhatikan perkembangan itu dan pada masa sama menegaskan supaya ia diselesaikan secara diplomatik. - AFP
No comments:
Post a Comment