KAHERAH 12 April - Calon daripada Parti Salafi, Hazem Salah Abu Ismail dibenarkan bertanding dalam pilihan raya Presiden Mesir akan datang selepas Mahkamah Pentadbiran di sini semalam memutuskan ibunya yang telah meninggal dunia tidak memiliki dua kerakyatan.
Keputusan itu dibuat selepas prosiding selama 10 jam semalam.
Mahkamah turut mengarahkan Kementerian Dalam Negeri mengeluarkan satu dokumen menyatakan ibu pemimpin itu hanya memegang kerakyatan Mesir sebelum meninggal dunia.
Undang-undang pilihan raya Mesir menetapkan, calon Presiden dan kedua ibu bapanya perlulah seorang warganegara tanpa memiliki kerakyatan negara lain.
Sebuah suruhanjaya bebas yang bertanggungjawab dalam pilihan raya Presiden yang akan diadakan bulan depan sebelum ini menyatakan, ia dimaklumkan Kementerian Dalam Negeri bahawa ibu Abu Ismail merupakan warganegara Amerika Syarikat (AS) pada 2006.
Ia sekali gus menimbulkan persoalan mengenai kelayakan beliau untuk bertanding sebagai calon Presiden.
Beribu-ribu penyokong Abu Ismail yang mendakwa pemimpin itu menjadi mangsa kempen pihak lawan, bersorak dan menyambut keputusan tersebut dengan membakar bunga api di luar mahkamah yang bersidang sejak pagi.
Beliau dilihat sebagai calon berpotensi menang bagi pilihan raya Presiden kali pertama sejak kejatuhan Hosni Mubarak pada Februari tahun lalu.
Abu Ismail yang dianggap ultra konservatif, memfailkan kes terhadap Kementerian Dalam Negeri, meminta mereka mengemukakan dokumen sebagai bukti yang menunjukkan ibunya memiliki kerakyatan dua negara. - REUTERS/dpa
No comments:
Post a Comment