Pages

Monday, February 27, 2012

NATO, Britain undur kakitangan

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


KABUL 26 Feb. - Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) dan Britain mengundurkan kakitangan mereka daripada institusi-institusi kerajaan Afghanistan berikutan pembunuhan dua penasihat tentera Amerika Syarikat (AS) di bangunan Kementerian Dalam Negeri, semalam.

Pembunuhan itu menyebabkan angka kematian dalam protes anti-AS di seluruh negara ini meningkat kepada lebih 30 orang.

Pergerakan Taliban berkata, pihaknya bertanggungjawab mendalangi pembunuhan tersebut yang bertujuan untuk membalas dendam terhadap tindakan askar AS membakar kitab al-Quran di sebuah pangkalan tentera AS di Afghanistan.

Dalam keganasan di seluruh negara ini semalam, sebuah pejabat Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) diserang oleh beribu-ribu penunjuk perasaan di wilayah Kunduz, timur laut Afghanistan, tetapi polis mematahkan serangan itu dengan melepaskan tembakan ke arah orang ramai.

Lima orang dilaporkan maut dalam serangan itu, meningkatkan angka kematian berpunca daripada protes ganas sejak lima hari lalu berhubung pembakaran kitab agama dan naskhah al-Quran di Pangkalan Udara Bagram kendalian tentera AS.

Presiden Hamid Karzai mengeluarkan kenyataan menggesa penunjuk perasaan dan pasukan keselamatan Afghan supaya mengawal tindakan masing-masing.

Katanya, kerajaan sedang mendesak Washington supaya membawa pelaku jenayah (membakar al-Quran) itu ke muka pengadilan.

Dua penasihat tentera AS daripada Pasukan Bantuan Keselamatan Antarabangsa (ISAF) itu berada di dalam bangunan Kementerian Dalam Negeri apabila seorang 'individu' menembak kedua-duanya di belakang kepala, kata NATO.

Satu sumber kerajaan Afghan berkata, kedua-dua lelaki itu ditembak mati oleh seorang pegawai polis Afghan yang bertugas di jabatan perisikan Kementerian Dalam Negeri.

"Atas sebab yang jelas, saya mengambil langkah segera untuk mengundurkan semua kakitangan ISAF yang bertugas di kementerian-kementerian di serata Kabul," kata Komander ISAF, Jeneral John Allen. - AFP


'via Blog this'

No comments: