Pages

Monday, February 27, 2012

Kompleks Presiden Yemen diserang

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:


SANAA 26 Feb. - Sekurang-kurangnya 25 orang terbunuh apabila seorang pengebom berani mati menyerang kompleks Presiden di selatan Yemen, semalam.

Menurut sumber keselamatan, letupan berlaku beberapa jam selepas Presiden baru negara itu dalam tempoh 33 tahun, Abdrabuh Mansour Hadi mengangkat sumpah jawatan.

Penyerang itu meletupkan dirinya di dalam sebuah kenderaan di pintu masuk kompleks itu di Mukalla, ibu negeri wilayah selatan, lapor laman web Mareb Press.

Serangan dilakukan ketika pengawal keselamatan sedang berehat untuk makan tengah hari berhampiran pintu masuk kompleks tersebut.

Mangsa yang terkorban termasuk anggota elit Pengawal Republik, pasukan diketuai anak lelaki bekas Presiden Ali Abdullah Saleh, lapor Mareb Press yang memetik sumber ketenteraan.

Menurut seorang sumber daripada pasukan keselamatan Yemen kepada laman web bebas,Change, penyerang itu adalah warga Arab Saudi yang mempunyai hubungan dengan al-Qaeda.

Insiden berlaku beberapa jam selepas Abdrabuh Mansour Hadi mengangkat sumpah sebagai Presiden baru Yemen di Parlimen di ibu negara Sanaa.

Hadi yang sebelum ini merupakan Naib Presiden, berjanji untuk memerangi al-Qaeda sambil menyifatkannya sebagai 'tugas agama dan kebangsaan' pada majlis angkat sumpah yang disiarkan di televisyen, semalam. - DPA


'via Blog this'

No comments: