Pages

Monday, January 16, 2012

Suu Kyi sedia terima jawatan kerajaan Myanmar


YANGON 15 Jan. - Pemimpin prodemokrasi Myanmar, Aung San Suu Kyi tidak menolak kemungkinan beliau menerima jawatan dalam kerajaan jika beliau memenangi kerusi Parlimen pada pilihan raya akan datang.

"Semuanya bergantung kepada situasi dan jawatan Kabinet yang ditawarkan," kata Suu Kyi apabila ditanya sama ada beliau akan menerima jawatan dalam kerajaan jika ditawarkan.

Seorang wartawan menyebut kemungkinan jawatan Menteri Luar ditawarkan kepadanya.

"Saya akan perlu memikirkan tawaran itu dengan sangat serius," jawab Suu Kyi.

Beliau hari ini mengadakan rundingan dengan Menteri Luar Perancis, Alain Juppe, diplomat tertinggi Perancis yang pernah melawat negara ini.

Suu Kyi, 66, yang dibebaskan dari tahanan di rumah pada November 2010 tidak lama selepas pilihan raya kontroversi dimenangi oleh sekutu politik tentera, merancang untuk bertanding di sebuah kawasan Parlimen dekat Yangon pada pilihan raya kecil 1 April ini.

Sebuah kerajaan awam mengambil alih kuasa di Myanmar tahun lepas, menamatkan pemerintahan tentera selama hampir lima dekad, tetapi barisannya dipenuhi oleh bekas-bekas jeneral.

Sejumlah 48 kerusi dipertandingkan pada pilihan raya tersebut, 40 untuk dewan rendah Parlimen, enam untuk dewan tertinggi dan dua untuk dewan undangan wilayah.

Pengundian itu bertujuan untuk mengisi kerusi yang dikosongkan oleh mereka yang telah dipilih untuk menjadi menteri dan timbalan menteri dalam kerajaan berikutan pilihan raya 2010.

Bagaimanapun bilangan kerusi yang dipertandingkan tidak cukup banyak untuk menggugat majoriti besar yang dikuasai oleh parti pemerintah. - AFP

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: