Pages

Monday, January 16, 2012

Indonesia pantau 25 gunung berapi

PADANG: Dua puluh lima gunung berapa di Indonesia menunjukkan aktiviti tidak normal atau diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga atau status pemantauan, kata pembantu khas presiden, Andi Arief, kelmarin.

“Menurut data rasmi, 25 gunung berapi diletakkan dalam keadaan berjaga-jaga atau status pemantauan dan ia perlu diberi keutamaan merujuk kepada pelan mengurangkan bencana pada peringkat daerah atau bandar raya,” katanya dalam satu bengkel kerja mengenai peranan wartawan dalam pengurusan bencana.
Beliau berkata, di Sumatera Barat dua gunung berapi perlu dipantau rapi iaitu Merapi dan Talang kerana masih dalam status berjaga-jaga.
Gunung berapi Merapi terletak di daerah Agam dan Tanahdatar serta setinggi 2,891 meter di atas paras laut dan gunung berapi Talang setinggi 2,597 di atas paras laut di daerah Solok terletak kira-kira 40 kilometer dari Padang.

Selain dua gunung berapa itu, kerajaan dan agensi pengurusan bencana daerah turut memberikan perhatian kepada Gunung Papandayan di Jawa Barat, Gunung Karangetan dan Lokon di Sumatera Utara, Gunung Ijen di Jawa Timur, Gunung Gamalama di Maluku Utara, Gunung Krakatau di Banten dan Lampung serta Gunung Lewoloto Nusa Tenggara Timur.

“Tidak mustahil semua gunung berapi itu yang kini masih normal boleh berubah menjadi tidak normal disebabkan gempa bumi yang berlaku untuk mencetuskan magma dalam gunung untuk meningkatkan aktiviti mereka, jadi, penduduk perlu sentiasa bersedia dan berjaga-jaga,” katanya.

Andi berkata, gempa bumi dengan kekuatan di bawah 5.0 boleh mencetuskan magma dalam gunung berapi meningkat dan penduduk bukan sekadar perlu berjaga-jaga dengan gegaran besar tetapi juga gempa bumi berukuran kecil.
Gempa bumi berukuran 4.4 seperti yang berlaku di Singkawang, Kalimantan Barat adalah salah satu contoh, yang menyaksikan penduduk tidak meramalkan ia berlaku di situ, katanya.

“Gempa bumi berukuran kecil kini dikaji oleh penyelidik bagi meminimumkan kerosakan jika letusan berlaku dalam negara kerana banyak gunung berapi di Indonesia,” katanya. – Agensi </div>

No comments: