KAPAL mewah Costa Concordia tersadai dan mula karam di perairan Pulau Giglio di utara Itali selepas terlanggar batu karang malam kelmarin ketika menuju Laut Mediterranean. Sekurang-kurangnya 39 orang masih hilang sehingga malam tadi.
KESAN kerosakan jelas kelihatan di bahagian bawa kapal Costa Concordia tidak jauh dari pantai Pulau Giglio, semalam. Tiga disahkan maut dan ramai lagi hilang akibat pelanggaran yang berlaku beberapa jam selepas ia memulakan pelayaran.
ROME: Operasi menyelamat penumpang kapal mewah Itali yang terbalik di Laut Mediterranean berlanjutan selepas sepasang suami isteri yang berbulan madu ditemui hidup, semalam.
Awal malam tadi (waktu Malaysia), penyelamat berjaya menarik keluar mangsa ketiga - pengarah perkhidmatan kabin, Manrico Giampedroni, 57, yang ditemui dalam satu daripada kabin kapal berkenaan yang separuh tenggelam.
Dia dipercayai mengalami patah kaki.
Lebih 4,000 orang dipindahkan apabila kapal Costa Concordia terlanggar batu karang di luar pantai Tuscany malam kelmarin.
Dua penumpang warga Perancis dan seorang kru Peru disahkan mati, tetapi sehingga malam tadi, 38 orang masih hilang.
Pasangan pengantin baru yang diselamatkan itu berasal dari Korea Selatan.
Mereka - kedua-duanya berusia 29 tahun - terperangkap dua tingkat di bawah geladak apabila kapal berkenaan tiba-tiba karam.
Seramai 35 orang penyelamat mengambil masa 90 minit mengeluarkan pasangan terbabit pada awal pagi semalam (waktu tempatan) selepas mendengar mereka menjerit meminta tolong.
Menurut pasangan terbabit, mereka tidak melihat atau mendengar mangsa lain sepanjang tempoh 24 jam terperangkap di situ.
Sementara itu, kapten Costa Concordia, Francesco Schettino, ditahan bersama pegawai pertama, Ciro Ambrosio, di Balai Polis Porto Santo Stefano, Itali, untuk disoal siasat mengenai insiden itu.
Pegawai pendakwa, Francesco Verusio, pula menyiasat kemungkinan untuk mengenakan tuduhan membunuh dan meninggalkan kapal ketika penumpang masih dalam bahaya.
Katanya, kapal berkenaan menghampiri Pulau Giglio melalui “jalan salah.”
Sumber pula berkata, Schettino, 52, meninggalkan kapal itu kira-kira jam 11.30 malam (waktu tempatan) - kira-kira sejam selepas ia terlanggar batu karang.
Penumpang terakhir pula diselamatkan kira-kira tiga setengah jam kemudian.
Penyelamat berkata, mungkin ada mayat belum ditemui di bahagian kapal yang dimasuki air.
Jurucakap bomba, Luca Cari, berkata pakar selam akan memeriksa bahagian dalam kapal itu untuk mengetahui keadaan sebenar.
“Kami tidak menolak kemungkinan lebih banyak korban dicatatkan,” katanya.
Laporan sebelum ini mendakwa, 29 pekerja dapur warga Filipina dikhuatiri terperangkap di bahagian bawah kapal sepanjang 290 meter itu. - DM
'via Blog this'
No comments:
Post a Comment