Pages

Monday, January 16, 2012

Rakyat Kazakhstan mengundi



Dua wanita berpakaian tradisional mengundi semasa pilihan raya Parlimen di kampung Karasu, kira-kira 240 km dari Almaty, Kazakhstan, semalam. - AFP


ZHANAOZEN, Kazakhstan 15 Jan. - Rakyat Kazakhstan mula mengundi hari ini dalam pilihan raya yang bertujuan untuk meletakkan parti kedua di Parlimen dan meredakan rasa tidak puas hati selepas rusuhan maut menjejaskan imej kestabilan yang ingin dijaga oleh pemimpin veteran negara Asia Tengah ini.

Tidak diragui parti Nur Otan pimpinan Presiden Nursultan Nazarbayev akan mencapai kemenangan besar.

Parti yang mendapat tempat kedua juga dijamin menduduki kerusi di dewan yang mempunyai 107 anggota itu, tidak kira sama ada ia memperoleh sekurang-kurangnya tujuh peratus undi yang disyaratkan sebelum ini.

Namun penentang keras Nazarbayev dihalang daripada bertanding dan parti yang dijangka menduduki tempat kedua ialah kumpulan properniagaan yang diketuai oleh seorang bekas anggota parti pemerintah.

Nazarbayev, 71, yang berkuasa sejak kemerdekaan dari Kesatuan Soviet pada 1991, masih popular di kalangan 16.7 juta penduduk negara ini, yang majoritinya Islam.

Selaku negara pengeluar minyak yang memiliki ekonomi terbesar di Asia Tengah, kekayaan Kazakhstan memastikan negara ini terselamat daripada kekacauan yang disaksikan di bekas republik Soviet di rantau ini.

Bagaimanapun rungutan makin kuat kedengaran bahawa ramai rakyat masih miskin sedangkan segelintir golongan elit bertambah kaya.

Kemarahan meletus di wilayah terpencil Mangistau di barat negara ini pada bulan lepas apabila pekerja minyak yang dipecat oleh syarikat milik kerajaan memprotes selama tujuh bulan.

Pegawai berkata, 17 orang terbunuh dalam pertempuran dengan polis yang melepaskan tembakan peluru hidup.

Penduduk di bandar minyak ini percaya angka kematian lebih tinggi daripada yang dilaporkan. - REUTERS

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: