Pages

Monday, January 16, 2012

Dataran Tahrir bukan gambaran keseluruhan Mesir


Selepas hampir setahun berlakunya revolusi yang menggulingkan bekas Presiden Hosni Mubarak, Mesir kini secara perlahan-lahan menjadi sebuah negara demokrasi.

Pilihan raya Parlimen pertama untuk pemilihan Dewan Rendah sejak penggulingan Mubarak baru sahaja berakhir dan bakal diikuti dengan Pilihan raya Parlimen untuk pemilihan Dewan Tinggi pada Februari ini.

Selepas pilihan raya itu selesai, ia akan disusuli pula dengan pembentukan Perlembagaan baru dan akhir sekali mengadakan pilihan raya Presiden dalam tempoh enam bulan akan datang.

Bagi mengulas lebih lanjut mengenai situasi terkini di Mesir, Wartawan Utusan Malaysia, MUHAMMAD ZULKIFLI SAINUDDIN menemu bual Duta Besar Mesir ke Malaysia, MOHAMED SAAD EBEID.

UTUSAN: Kebangkitan rakyat yang menggegarkan Mesir pada awal tahun lalu mencetuskan keadaan huru-hara di seluruh Mesir. Selepas hampir setahun berakhirnya revolusi itu, bagaimana dengan situasi terkini di Mesir secara keseluruhannya?

MOHAMED: Selepas beberapa bulan tamatnya revolusi, semua langkah-langkah yang perlu telah diambil. Keadaan di Mesir kini telah kembali kepada normal. Tiada lagi yang perlu dibimbangkan kerana Mesir 100 peratus selamat. Sesetengah orang menilai Mesir dengan hanya melihat apa yang berlaku di Dataran Tahrir, tetapi Dataran Tahrir sebenarnya bukanlah menggambarkan keseluruhan negara kami. Walaupun kedatangan pelancong terjejas akibat revolusi ini, tetapi kehadiran mereka masih dapat dilihat terutamanya di bahagian utara Mesir yang menempatkan monumen-monumen bersejarah serta di pusat pelancongan Sharm el-Sheikh di Laut Merah kerana kawasan itu tidak terjejas dan sangat selamat untuk dikunjungi.

Selepas kebangkitan rakyat pada awal tahun lalu, Mesir sering digegarkan dengan protes jalanan. Mengapa ini terus berlaku?

Sejak revolusi, tidak dinafikan protes sering berlaku tetapi ini adalah normal kerana semua orang mahu menyuarakan pendapat, kekecewaan dan kemahuan mereka. Ramai juga di kalangan rakyat kini berpendapat ini adalah masanya untuk bangkit menyuarakan pelbagai isu tidak kiri mengenai ekonomi, sosial dan politik. Satu persekitaran baru telah muncul di Mesir di mana setiap rakyat mahu terlibat dengan segala isu yang timbul dan setiap rakyat mempunyai hak untuk bersuara, sesuatu yang sihat untuk masa depan sesebuah negara. Kadang kala ia berlaku secara aman dan sebaliknya, tetapi ini adalah normal dalam usaha membentuk masyarakat yang baru. Secara keseluruhannya, revolusi telah mewujudkan suasana dan masyarakat baru yang sesuai dengan demokrasi.

Bagaimana dengan proses pilihan raya Parlimen Mesir yang baru sahaja berakhir pada minggu lalu?

Proses pilihan raya Parlimen untuk memilih Dewan Rendah telah dikendalikan secara bebas dan adil, sekali gus mencerminkan demokrasi. Ini adalah satu langkah progresif yang telah berjaya dicapai, tidak seperti pilihan raya sebelum ini di mana kesahihannya diragui. Sebanyak 60 peratus pengundi berdaftar dilaporkan menyertai pilihan raya itu. Kejayaan mengadakan pilihan raya yang adil dan bebas ini juga menggambarkan Mesir kini menuju ke arah negara demokrasi dan ini akan diikuti dengan langkah seterusnya termasuk mengadakan pilihan raya Parlimen untuk pemilihan Dewan Tinggi pada Februari ini dan pembentukan Perlembagaan baru sebelum pilihan raya Presiden dalam tempoh enam bulan akan datang.

Keputusan pilihan raya Parlimen baru-baru ini dikuasai oleh parti berhaluan Islam, terutamanya pergerakan Ikhwan Muslimin dengan Parti Kebebasan dan Keadilan (FJP). Mengapa ini boleh berlaku?

Keputusan ini sememangnya sesuatu yang mengejutkan. FJP yang ditubuhkan oleh Ikhwan Muslimin telah memperolehi 40 peratus daripada jumlah undi. Ini berlaku kerana rakyat mahukan perubahan dan parti itu telah meraih simpati daripada rakyat yang mahu membalas dendam kepada rejim sebelum ini. Ikhwan Muslimin juga adalah sebuah pertubuhan yang berpengaruh dan mempunyai banyak pengalaman selepas lebih 80 tahun ditubuhkan. Kedudukan mereka sebagai pembangkang juga telah memberikan mereka peluang lebih baik selain mereka aktif berkempen.

Bagaimanapun keputusan pilihan raya ini dilihat mencetuskan kebimbangan pada segelintir rakyat Mesir sendiri yang bimbang dengan dasar konservatif parti berhaluan Islam serta daripada pihak Barat yang khuatir dengan perubahan dasar luar Mesir?

Ini adalah pilihan rakyat sendiri dan rakyat membuat pilihan melalui kebolehan sesuatu parti itu dan mereka juga boleh menyingkirkan pemimpin yang tidak disukai. Inilah yang dinamakan demokrasi. Mungkin ada yang tidak berpuas hati dengan keputusan ini, tetapi perkara sama turut berlaku di Magribi dan Tunisia baru-baru ini di mana parti berhaluan Islam telah memenangi pilihan raya di negara itu. Namun yang pastinya, FJP kini mengambil pendirian mewujudkan pengasingan. Mengikut kenyataan yang dikeluarkan oleh FJP yang kami ikuti, mereka memerlukan beberapa perubahan dan pengubahsuaian pendirian berhubung pelbagai isu tidak kira mengenai isu di dalam atau di luar negara. Dalam bidang politik, pendirian yang terlalu keras bakal merosakkan kredibiliti sesuatu parti itu. Kestabilan dan kekuatan ekonomi sangat penting dan setiap masalah perlu diselesaikan dengan cara yang betul bukan lagi melalui retorik atau ucapan semata-mata.

Utusan Malaysia Online - Luar Negara:

'via Blog this'

No comments: