Pages

Monday, January 16, 2012

Sekatan Barat: Dilema pelajar Iran di Malaysia

SHAH ALAM – Tindakan negara-negara Barat mengenakan sekatan dan tekanan ke atas Iran bukan sahaja menggugat kestabilan ekonomi republik itu, malah kesannya turut dirasai penuntutnya di negara lain termasuk di Malaysia.

Sinar Harian Online yang menjejaki beberapa penuntut Iran univerisit di Lembah Klang berkongsi kesan dan implikasi khususnya dalam meneruskan pengajian tinggi mereka.

Sara, 25, yang sudah berada di Malaysia lebih dua tahun mengikuti pengajian ijazah sarjana berkata, pada awal tahun pertama semuanya berjalan lancar dan mereka dapat menjalani kehidupan normal serta tumpuan terhadap pelajaran lebih berfokus.

Jumlah wang sara diri yang diperlukan oleh mereka dalam sebulan adalah RM2,000 termasuk untuk bayaran sewa rumah, keperluan makanan, kenderaan dan duit poket.

“Apabila konflik mula berlaku, ibu bapa kami mula menghadapi kesukaran untuk mengirim wang... apabila inflasi meningkat dan nilai mata wang dolar juga melambung," katanya dengan merahsiakan identiti diri atas faktor keselamatan.

“Kami amat sedih mengenangkan ibu bapa yang terpaksa berusaha mencari wang untuk menampung kos sara diri kami,” katanya.

Apa yang mengejutkan, cara ibu bapa mereka menghantar wang kepada mereka juga semakin sukar, apabila pada awal Disember lalu, Amerika Syarikat (AS) mengundi untuk mengenakan sekatan baru ke atas bank pusat Iran.

Langkah itu menyekat institusi kewangan asing berurusan dengan bank berkenaan.

“Apa yang boleh dilakukan oleh ibu bapa kami adalah menggunakan khidmat ejen di Iran. Selepas membuat bayaran kepada ejen, pihak mereka akan menghubungi wakil ejen mereka yang berada di Malaysia dan kami akan dimaklumkan bahawa wang kami telah dimasukkan.

“Adakalanya ibu bapa kami juga berhadapan dengan penipuan apabila terdapat ejen yang mengambil kesempatan dan menipu. Apabila ini berlaku, keadaan kami lebih menderita,” katanya.
Tambah Sara, sebagai alternatif, jika ada sahabat, kenalan atau saudara mara yang dikenali ingin datang ke Malaysia, ibu bapa akan kirim wang melalui mereka.
Bagaimanapun ia jarang-jarang berlaku, katanya lagi.

Ketika ditanya jika mereka ada membuat kerja sampingan, rakannya Mina, 24, mencelah, “menjadi kesalahan jika kami bekerja kerana kami berada di sini atas visa pelajar dan kerana kekangan inilah kami tidak dapat membuat kerja sampingan.”

“Apa yang boleh kami lakukan hanyalah berdoa setiap hari agar negara kami berhenti bergolak dan keamanan kembali menyinari setiap rakyat Iran,” ujarnya.

Seorang lagi penuntut, Maryam, 23, berkata, kesan perang di antara Iran dan Iraq yang berlangsung selama lapan tahun hingga Ogos 1988 masih dirasai.

Dan, kini rakyat terpaksa pula merasai penderitaan lain pula.

Ujar Mina, alangkah baiknya jika Iran seperti Malaysia di mana rakyatnya hidup dengan aman damai dan hidup muafakat dalam keadaan berbilang kaum.

“Rakan-rakan Malaysia juga sangat baik dan sering membantu kami ketika kami bermasalah dalam pelajaran.

“Pensyarah di sini juga sangat prihatin dan mengambil berat tentang kemajuan pelajar-pelajar,” katanya.

Ditanya mengenai perancangan masa hadapan selepas tamat pengajian, mereka bertiga telah sepakat untuk merantau ke negara lain untuk mencari pekerjaan dan kehidupan baru.

“Bukan tidak sayangkan tanah air sendiri, tetapi selagi konflik seperti yang berlaku sekarang tiada penyelesaian, kami sendiri takut untuk pulang.

“Sudah ramai saudara-mara dan sahabat kami yang berada di negara seperi Sweden dan Amerika berjaya serta mampu membentuk kehidupan yang lebih baik," katanya lagi.

Sementara itu, Malaysia menjadi pilihan utama pelajar Iran untuk melanjutkan pelajaran peringkat sarjana dan kedoktoran berikutan suasana pembelajaran yang sesuai di negara ini.

Pengarah Hal Ehwal Pelajar Iran di Asia Tenggara, Prof Dr Azizollah Memariani sebelum ini pernah berkata, jumlah pelajar Iran di Malaysia merupakan yang tertinggi di Asia Tenggara sekitar 13,000 orang. Sekatan Barat: Dilema pelajar Iran di Malaysia - Nasional - Sinar Harian:

'via Blog this'

No comments: