Pages

Monday, January 23, 2012

Islam menang 75 peratus undi

SEKUMPULAN wanita beratur untuk membeli makanan subsidi berpaket di sebuah stor dikelolakan Ikhwanul Muslimin di Alexandria, kelmarin.
SEKUMPULAN wanita beratur untuk membeli makanan
subsidi berpaket di sebuah stor dikelolakan Ikhwanul
Muslimin di Alexandria, kelmarin.


Penguasaan Muslim bimbangkan kelompok konservatif Mesir 

KAHERAH: Keputusan akhir pilihan raya Mesir menunjukkan puak Islam memenangi tiga perempat daripada kerusi Parlimen Mesir dalam pengundian pertama negara itu sejak bekas presiden Hosni Mubarak digulingkan tahun lalu.
Penguasaan puak Islam di Parlimen Mesir menimbulkan kebimbangan kelompok konservatif mengenai perlembagaan negara yang bakal dipinda dan dipercayai lebih berteraskan Islam.
Tidak dapat dipastikan sama ada pindaan perlembagaan akan dilakukan ketika tentera masih berkuasa atau selepas pilihan raya presiden pada musim panas ini. 

Ahli Parlimen daripada pergerakan Ikhwanul Muslimin, Mohammed el-Beltagi, berkata anggota parlimen yang dipilih pengundi dalam pilihan raya terbaru kali ini, mencerminkan hasrat rakyat Mesir bagi masa depan mereka. 

“Walaupun wujud beberapa keraguan, tidak dapat dinafikan pilihan raya kali adalah yang paling bersih pernah diadakan,” katanya. 

Dalam pengundian dewan rendah, pakatan parti Islam sederhana Ikhwanul Muslimin menang 47 peratus atau 235 daripada 498 kerusi yang dipertandingkan, manakala parti ultrakonservatif Salafi Al-Nour menduduki tempat kedua dengan 25 peratus undi atau 125 kerusi. 
Salafi Al-Nour yang memberi kejutan besar dalam pilihan raya kali ini mahu menguatkuasakan undang-undang Islam di Mesir secara tegas, manakala Ikhwanul Muslimin yang lebih sederhana secara terbuka menyatakan ia tidak akan menguatkuasakan pandangannya mengenai cara hidup Islam yang sesuai bagi rakyat Mesir. 

Kedua-dua parti dijangka tidak bergabung berikutan perbezaan ideologi, tetapi Salafi Al-Nour dan Ikhwanul Muslimin sejak sekian lama sudah melaksanakan banyak usaha kebajikan di negara yang dilanda masalah kemiskinan tegar itu. 

Kelompok liberal yang mendalangi pemberontakan menggulingkan Mubarak, bagaimanapun tidak menang banyak kerusi berikutan perpecahan yang dialami dan tiada banyak pengalaman dalam politik. 

“Keadaan ini menyebabkan kumpulan liberal kehilangan upaya untuk menjadi suara utama di parlimen, kecuali jika ia mengadakan tunjuk perasaan jalanan,” kata timbalan pemimpin Parti Pembebasan Rakyat Mesir, Mohamed Abu-Hamed. – AP 

No comments: