KEADAAN rumah Christine yang rosak selepas dirempuh lori tangki. |
DORSET: Seorang lelaki cuba meletupkan kediaman isterinya semalam selepas merempuhnya dengan lori tangki minyak.
Christine Billington, 53, melarikan diri dalam ketakutan ketika suaminya, Hugh Billington, 51, merempuh lori berisi beribu-ribu gelen parafin dua kali terhadap banglo berkenaan sebelum membakar pintu depannya.
Ketika api mungkin menyebabkan letupan besar berlaku kira-kira 30 meter dari sebuah sekolah rendah, seorang lelaki melompat masuk ke dalam lori tangki 25 tan itu dan mengundurkannya dari api yang semakin marak. Darren Fletcher yang menghantar anaknya, Imogen, tujuh, ke sekolah, kemudian menggunakan alat pemadam api untuk memadamkan kebakaran itu yang sudahpun merebak di sekeliling lori.
Ekoran kejadian itu, pekerja penghantar bekalan minyak, Billington ditangkap atas tuduhan cuba membunuh.
Darren, 34, pekerja kereta api ketika menceritakan detik cemas itu berkata: “Injap pada lori berkenaan sudah dibuka dan tempat duduk bahagian penumpang sudah dijilat api.
“Cermin depan dan papan pemuka juga terbakar. Enjin lori pula masih hidup ketika saya naik ke bahagian pemandu dan mengundurkan lori itu dari banglo berkenaan.”
Christine yang menguruskan perniagaan merapikan anjing, dipercayai berpisah dengan suaminya baru-baru ini dan banglo dua bilik mereka di Wool, Dorset, diiklankan untuk dijual.
Jiran berkata, polis dipanggil beberapa kali ke rumah itu baru-baru ini.
Seorang saksi berkata: “Christine datang ke rumahnya sambil menangis. Suaminya memberitahunya: ‘Jika saya tidak dapat anda, tidak ada orang lain yang akan dapat.’” Polis berkata: “Jika lori itu meletup, tidak ada siapa akan selamat.” - DM
No comments:
Post a Comment